DBKL tutup empat premis hiburan

Peralatan muzik yang disita menerusi tindakan khas yang dijalankan pada Jumaat.
Peralatan muzik yang disita menerusi tindakan khas yang dijalankan pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat premis terdiri daripada restoran dan pub diarah tutup selepas menjalankan aktiviti hiburan tanpa sebarang kelulusan.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tindakan penguatkuasaan itu dijalankan menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Hiburan) Siri 11/2023 di Jalan Vista Mutiara Kepong, Jalan Genting Klang, Taman Danau Kota Setapak dan Jalan U-Thant Ampang pada Jumaat.

Menurutnya, serbuan dan pemeriksaan dijalankan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti hiburan termasuk persembahan live muzik, karaoke dan DJ Muzik.

"Tindakan penutupan (sealed) serta-merta dilaksanakan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka 8 kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (live muzik/DJ) tanpa kebenaran.

"Satu notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 (Melantik Pembantu Tanpa Kebenaran) turut dikeluarkan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, sitaan membabitkan 38 pelbagai peralatan muzik turut dilaksanakan dan barangan itu kemudian dihantar ke Setor Sitaan DBKL Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara.

Ujarnya, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan lain sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan: