20 tahun rumah tak siap-siap

Sivarajan (kiri) bersama sebahagian wakil pembeli rumah Desa Beruntung di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sebelum menyerahkan memorandum.
Sivarajan (kiri) bersama sebahagian wakil pembeli rumah Desa Beruntung di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sebelum menyerahkan memorandum.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 54 pembeli rumah kos rendah Desa Beruntung menggesa kerajaan Selangor membuat pengambilan tanah bagi meneruskan semula pembinaan projek itu yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.

Difahamkan projek tersebut telah 80 peratus siap sejak 2002, namun sehingga kini pembeli yang terdiri daripada pekerja ladang kelapa sawit di sini masih belum dapat memiliki rumah berkenaan.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan berkata, pada 1999, seramai 54 pembeli telah menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) susulan daripada polisi kerajaan negeri pada masa itu yang meminta semua syarikat ladang untuk membina rumah kepada pekerja mereka.

"Bagaimanapun, syarikat pemaju terlibat dikatakan telah muflis dan menyebabkan pembinaan rumah kos rendah berkenaan tidak dapat diteruskan," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menyerahkan memorandum ke Pejabat Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, V Ganabatirau hari ini.

Sivarajan berkata, pemaju terlibat juga dilihat cuba mengelak daripada menyelesaikan permasalahan itu dan hanya bercadang membuat bayaran balik deposit sebanyak RM2,500 dengan tambahan faedah sebanyak lima peratus kepada pembeli rumah berkenaan.

Katanya, memandangkan masih tiada jalan penyelesaian, pembeli telah mencadangkan kepada pemaju untuk memberikan lot tanah kepada mereka sebagai ganti.

"Namun pihak terlibat seolah tidak ikhlas untuk menyelesaikan perkara ini dan menawarkan lot tanah berlainan yang terletak jauh di kawasan pedalaman serta tidak sesuai untuk pembinaan rumah.

"Tambahan pula pekerja terlibat perlu membeli lot tanah itu dengan harga RM20 untuk satu kaki persegi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sivarajan memaklumkan pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada wakil Exco bagi meminta supaya permasalahan itu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan Selangor.

Menurutnya, pihak pejabat Exco turut memberikan respon positif dan akan memanggil semua pembeli terlibat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara itu dengan lebih lanjut.