Solat di tempat kerja: Majikan, pekerja perlu tolak ansur

Sebuah kilang di Klang menafikan pihaknya mengeluarkan memo melarang pekerja Islam solat ketika waktu bekerja seperti yang tular di media sosial.
Sebuah kilang di Klang menafikan pihaknya mengeluarkan memo melarang pekerja Islam solat ketika waktu bekerja seperti yang tular di media sosial.
A
A
A

IPOH - Majikan dan pekerja perlu bertolak ansur serta saling memahami antara satu sama lain berhubung pelepasan waktu solat di tempat kerja.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, isu berkenaan sebenarnya tidak seharusnya timbul seperti peraturan pelepasan kepada pekerja Islam untuk menunaikan solat fardu lima waktu termasuk solat Jumaat.

"Kita ada peraturan, ada persefahaman pekerja Islam dibenarkan untuk menunaikan solat dan ini bergabung kepada pengurusan dalam kilang itu sendiri untuk mengatur waktu rehat pekerja. Mungkin boleh diberikan kebebasan untuk bersolat dalam 10 minit.

"Tetapi secara bergilir-gilirlah, tak boleh keluar kerap. Solat Asar misalnya, hanya kerana nak laksanakan secara berjemaah sehingga mengganggu kelicinan perjalanan syarikat. Itu kena faham juga dan kena ada pengurusan yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Tauliah Pelantikan Pegawai Masjid (Imam/Bilal) Peringkat Negeri Perak di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Malaysia (Intim) di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan menyempurnakan penyampaian tauliah pelantikan berkenaan.

Sultan Nazrin menyampaikan tauliah pada majlis berkenaan.
Sultan Nazrin menyampaikan tauliah pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Hussin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebagai contoh bagi urusan solat Jumaat di sektor-sektor kerajaan bermula 12.30 tengah hari hingga 2.45 petang dan ada sebahagiannya pada jam 1 petang hingga 2 petang.

Sementara itu, Asmuni berkata, setakat ini pihaknya tidak ada menerima laporan berhubung perkara sedemikian di negeri ini.

"Di Perak tak ada lagi kes-kes begini. Kita tak dengar ada kilang atau syarikat-syarikat yang menghalang kakitangan untuk menunaikan solat Jumaat atau solat lima fardu lima waktu.

"Dalam soal ini kena ada tolak ansur. Pekerja Islam wajib solat lima kali sehari. Pihak majikan kena memahami masalah ini kerana ia bukan lagi soal budaya tetapi ia adalah cara kehidupan rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu, sebuah kilang di Kapar didakwa melarang pekerjanya menunaikan ibadat solat ketika waktu bekerja.

Tindakan kilang yang beroperasi di Taman Perindustrian Sungai Kapar itu dibuat melalui sepucuk memo bertarikh 30 Julai yang kini tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Kilang denda pekerja Islam solat