Melaka dipilih tuan rumah majlis pelancaran Bulan Kebangsaan

Persiapan sedang giat dijalankan menjelang majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan Banda Hilir Sabtu ini.
Persiapan sedang giat dijalankan menjelang majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan Banda Hilir Sabtu ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 pada Sabtu ini bertepatan dengan negeri itu yang diibaratkan sebagai peti sejarah.

Program yang akan diadakan di Dataran Pahlawan Banda Hilir dijadualkan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada jam 8.30 malam.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kerajaan negeri telah melakukan persiapan awal yang rapi dan jitu bagi memastikan kelancaran serta keceriaan program sepanjang ia berlangsung.

Katanya, ini termasuk memasang Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan kawasan tumpuan ramai selain akan menyarankan semua pihak sama ada premis pejabat, jabatan kerajaan mahupun swasta mengambil inisiatif bersama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan.

"Kita menzahirkan rasa kesyukuran dan bertuah apabila Melaka di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) julung kalinya dipilih bagi pelancaran program itu seterusnya kempen Jalur Gemilang.

"Saya yakin dan percaya pemilihan negeri ini berkait rapat dengan sejarah Melaka termasuk sejarah kemerdekaan Malaysia dan kita sehingga hari ini terus membuat persiapan bagi menyambut program itu," katanya.

Tambah Adly, rasional pemilihan lokasi itu juga kerana ia adalah tempat pengumuman tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 20 Februari 1956.

Menurutnya, ia juga sebagai satu peringatan kepada semua masyarakat untuk memahami erti baharu sebuah kemerdekaan yang didukung oleh kerajaan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, program berkenaan akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kembara merdeka, Konsert Sayangi Malaysiaku, pameran agensi kerajaan dan banyak lagi malah turut diadakan larian dengan menyasarkan lebih 2,000 penyertaan.

"Bagi pelancaran malam itu kita turut menyasarkan seramai 20,000 hingga 30,000 orang akan hadir dan berharap rakyat Melaka terutamanya dapat memberikan sokongan serta dukungan untuk kita bersama menjayakan program itu.

"Sudah pasti program berimpak ini bakal menjadi catatan sejarah terpenting bagi Melaka dan satu penghormatan apabila dipilih barisan menteri Kabinet dan kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan majlis itu," katanya.