Yang di-Pertuan Agong Turus Negara

A
A
A

SEMALAM telah berlangsung Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Seri Paduka Baginda berdua bukan sekadar individu penyandang jawatan tertinggi negara itu bahkan berupa sebuah institusi kenegaraan yang mengandungi makna dan perlambangan yang cukup besar kepada sebuah negara bernama Malaysia.

Kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong adalah manifestasi daripada legasi kedaulatan dan kegemilangan Raja-Raja Melayu sejak zaman- berzaman.

Malah ia menjadi satu tiang seri kepada kejayaan gerakan rakyat khususnya UMNO dalam melumpuhkan Malayan Union pada 1946 dan mengangkat martabat dan kebesaran institusi Raja-Raja Melayu.

Melalui kejayaan tersebut Raja-Raja Melayu mempersembahkan kedaulatannya bagi mewujudkan sebuah negara yang bebas dan merdeka.

Daripada tinta sejarah itulah, terikatnya simpulan kata ‘Raja dan Rakyat berpisah tiada’ apabila berlangsungnya sebuah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Negara yang menjadi Turus tertinggi kepada Malaysia. Kedudukannya melampaui fahaman politik, agama dan kebudayaan.

Di bahunya tersemat lima bintang sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, menjadi pelindung kepada pasak terpenting keamanan dan kestabilan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Hak Keistimewaan Orang-Orang Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu.

Artikel Berkaitan:

Kewujudan institusi ini bukan sekadar pada perlambangan, kebesaran dan istiadatnya. Tetapi legitimasinya mempunyai makna cukup besar yang tidak hanya boleh diungkap dan difahami secara tersurat tetapi mempunyai makna tersirat yang sangat mendalam.

Amanah

Dalam erti kata lain, seluruh rakyat jelata menyerahkan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja Melayu sebagai pemegang kunci amanah kestabilan, keamanan dan keharmonian negara.

Suatu makna yang agar sukar untuk dimengertikan bagi mereka yang ego, angkuh dan sombong tetapi mudah untuk disyukuri, difahami dan dihayati bagi mereka yang menghargai nikmat kemerdekaan, keamanan dan keharmonian negara.

Dalam titah baginda semalam, Seri Paduka Baginda mengingatkan semua pihak agar jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara.

Ingatan ini perlu menjadi azimat buat semua rakyat Malaysia agar tidak menyentuh perkara-perkara yang boleh mencetuskan perbalahan dan persengkataan.

Menjaga dan memahami batas-batas tertentu sangat penting supaya apa sahaja yang dibicarakan tidak menjadi satu isu yang boleh merebak dan menjadi barah kepada Malaysia.

Terutama pada ketika segenap lapisan rakyat khususnya warganet memiliki akses untuk berkata apa sahaja di media sosial secara terbuka.

Isu-isu seperti penghinaan kepada Islam dan agama-agama lain perlu dihentikan, perbalahan politik mesti segera diredakan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan hari ini mesti mempunyai dasar dan hala tuju yang jelas ke arah mana negara ini hendak dibawa, bukannya dengan terus menerus mencetuskan perbalahan dalaman dan polemik peralihan kuasa yang tidak berkesudahan.

Semua pihak seharusnya perlu menghayati titah ucapan Seri Paduka Baginda sedalam-dalamnya supaya tidak mencetuskan api perselisihan sebaliknya menumpukan kepada hala tuju pembangunan negara dan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Berhentilah daripada mewujudkan dan mencetuskan api perselisihan yang hanya pasti akan merugikan rakyat dan merencatkan pembangunan negara yang telah dilakarkan sejak berpuluh tahun yang lalu.

Mewakili seluruh warga Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, patik dengan ini merakamkan ucapan setinggi tahniah, penghargaan dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda berdua atas istiadat pertabalan bersejarah ini.

Moga Malaysia terus makmur, aman dan sentosa di bawah naungan Turus Tuanku berdua. Ampun Tuanku. Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku. Allahuakbar.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia