Pas persoal tindakan kerajaan lulus pusat judi di Pokok Sena

Nurul Amin bersama penduduk membantah pemindahan sebuah pusat judi ke Taman Angsana, Pokok Sena.
A
A

BALING - Pas kesal apabila pihak kerajaan menerusi Kementerian Kewangan meluluskan pemindahan sebuah pusat judi berlesen dari Alor Setar ke kawasan Taman Angsana dalam Parlimen Pokok Sena.

Difahamkan, kawasan Parlimen Pokok Sena mempunyai 80 peratus pengundi Muslim berbanding 60 peratus dalam Parlimen Alor Setar.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, premis judi berkenaan ialah salah satu daripada 20 rangkaian pusat judi di Kedah.

Menurutnya, penduduk bersama-sama Pemuda Pas negeri dan Pas Kawasan Pokok Sena telah membuat bantahan petang semalam selepas menyedari papan tanda pusat judi itu dinaikkan.

"Pusat judi ini isunya pemindahan lokasi, bukan lesen baru. Hasil bantahan, pagi tadi kita dapati papan tanda berkenaan telah diturunkan. Itu satu kejayaan besar.

"Pagi esok kita akan menghantar petisyen ditandatangani penduduk bagi memastikan pusat tersebut tidak dibuka," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Alam Ria Pasti Kawasan Baling di Sekolah Menengah Agama Diniah, Kupang hari ini.

Dalam pada itu, Nurul Amin berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menunjukkan sikap tidak matang apabila menyalahkan pihak lain dalam isu berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan Mahfuz, Kementerian Kewangan meluluskan pemindahan pusat judi berkenaan hasil persetujuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

"Bagi dia perlu buat konsultasi awam. Jadi Mahfuz menyalahkan PDRM dan MBAS yang tidak mengambil pandangan awam.

"Bagi saya kenyataan terbuka dalam Facebook tidak menunjukkan sikap profesional sebagai seorang Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Pokok Sena," katanya.

Tambahnya, tindakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu secara tidak langsung merendahkan integriti dua agensi berkenaan.

"Bagi kami itu satu tindakan sangat naif dan kita berpandangan beliau sebagai Ahli Parlimen sepatutnya bersama-sama penduduk membantah perkara diharamkan dalam Islam.

"Bagi Pas pandangan kita tegas, berlesen atau tidak berlesen ia tetap haram dan perlu ditentang. Kita juga mengambil pandangan Ketua Polis Negara yang menyebut judi ialah ibu sebagai jenayah," katanya.

Beliau berkata, siapa pun yang memerintah kelak dituntut isytiharkan judi sebagai satu jenayah.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan lulus premis judi di Pokok Sena?


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia