'Tindakan kerajaan kecewakan umat Islam' - Dewan Muslimat Pas

Nuridah Mohd Salleh
Nuridah Mohd Salleh
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Muslimat Pas menyifatkan tindakan Kerajaan Perpaduan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka sebagai mengecewakan seluruh umat Islam di negara ini.

Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, Malaysia Madani yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya meremehkan isu besar umat Islam serta perlu terlebih dahulu berbincang dengan pemegang taruh lain sebelum membuat sebarang keputusan.

"Langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah kerajaan Madani sangat mengecewakan umat Islam negara ini apabila menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes kalimah ALLAH.

"Muslimat Pas begitu terkilan dengan penarikan balik rayuan ini yang membuktikan bahawa Kerajaan Madani bukanlah kerajaan yang boleh dijadikan sandaran harapan umat Islam negara ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan Kerajaan Malaysia dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Susulan tindakan itu, ramai pihak tampil mengecam tindakan tersebut yang disifatkan tidak menjaga hak umat Islam di negara ini.