Hassan persoal tindakan kerajaan tarik balik rayuan kes kalimah ALLAH

Hassan Karim.
Hassan Karim.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoalkan rasional kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian.

Beliau juga melahirkan rasa hairan kes rayuan itu tidak diberi peluang diputuskan mengikut undang-undang Perlembagaan di Mahkamah Rayuan.

"Kenapa kerajaan Persekutuan sekarang dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tarikh balik rayuan kes kalimah ALLAH di mahkamah rayuan di Putrajaya. Kenapa tidak diberi peluang diputuskan di mahkamah rayuan?

"Kes kalimah ALLAH ini bermula di mahkamah tinggi dan boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat sehingga ke mahkamah Persekutuan.

"Kes rayuan ke mahkamah rayuan difailkan kerajaan Persekutuan yang terdahulu pada 12 Mac 2021. Apa rasional rayuan ini ditarik balik oleh kerajaan Persekutuan sekarang," soalnya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin kerajaan Malaysia dan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Hassan seterusnya melontarkan persoalan sama ada keputusan menarik balik rayuan tersebut dibuat secara yang betul, berniat baik, tidak menyalahi Undang-undang pentadbiran.

"Tidakkah peruntukan undang-undang Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Agama Islam terletak dalam bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu?

"Adakah Majlis Raja-Raja Melayu telah dirundingi dan persetujuan raja-raja telah diperolehi sebelum rayuan ditarik balik," soalnya lagi.

Justeru katanya, jawapan dan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sangat penting dalam meredakan kegelisahan masyarakat Islam sekarang.