Undang-undang antibuli siber

A
A

SEMAKIN moden dunia hari ini, semakin bertambah masalah salah guna teknologi di seantero dunia, tidak terkecuali di Malaysia. Telah banyak dilaporkan bahawa masalah buli siber di negara ini semakin berleluasa dan serius.

Jika masalah ini tidak diambil satu langkah yang holistik dalam mengawalnya, sudah pasti salah laku buli siber ini akan semakin membawa petaka.

Buli siber wajar diklasifikasikan sebagai satu kesalahan serius di negara ini. Berbanding pembulian secara fizikal, pembulian secara maya atau siber lebih memberikan impak yang mendalam kepada mangsa buli. Mangsa buli siber biasanya akan mengalami tahap kemurungan yang melampau kerana capaian pembulian siber lebih meluas di alam maya berbanding di alam nyata.

Sudah banyak kali dilaporkan di media mengenai kes-kes bunuh diri, cubaan bunuh diri dan sebagainya melibatkan mangsa buli siber. Terbaru, satu kes seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dipercayai membunuh diri selepas terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Padawan, Sarawak pada Mei lalu. Remaja itu didakwa membuat undian di akaun Instagramnya dengan memaparkan status “Sangat penting, bantu saya pilih." Dia menyediakan dua pilihan iaitu D (Death) atau L (Life), masing-masing bermaksud mati dan hidup. Sadisnya, orang awam telah memilih 'mati' dan menyebabkan remaja tersebut mengambil tindakan untuk membunuh dirinya sendiri.

Pihak kerajaan perlu mengambil satu langkah yang signifikan dan drastik dalam membendung gejala buli siber supaya tragedi seumpama itu tidak berlaku lagi. Pada dasarnya, pihak kerajaan mempunyai dua pilihan utama dalam membendung isu ini melalui peruntukan undang-undang iaitu sama ada dengan memperkenalkan satu akta baharu mengenai buli siber atau menggubal satu peruntukan khas dalam mana-mana akta sedia ada yang berkaitan (contohnya Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998).

Akta

Pada penghujung tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo telah mencadangkan agar kesalahan buli siber diletakkan di bawah Kanun Keseksaan. Itu adalah langkah yang baik dalam memastikan rakyat sedar bahawa pembulian siber adalah satu kesalahan yang serius.

Namun, jika Menteri Komunikasi dan Multimedia mahu menjadikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebagai badan penguat kuasa bagi kesalahan buli siber ini, sudah tentu lebih sesuai untuk kesalahan itu diletakkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Buat masa ini, saya melihat hanya Seksyen 233(1), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan mengenai kesalahan penyalahgunaan internet. Jika disabit kesalahan di bawah seksyen ini, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) iaitu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Persoalannya di sini adakah Seksyen 233 tersebut sudah mencukupi untuk membendung perbuatan buli siber di negara ini? Secara kasarnya, peruntukan hukuman yang bakal dikenakan kepada para pembuli siber masih tidak begitu ketat dan berat. Tambahan, penguatkuasaan di bawah seksyen ini juga dilihat masih belum cukup kuat dan cekap.

Tidak kisah sama ada kesalahan buli siber ini diletakkan di bawah mana-mana akta sedia ada, apa yang pasti pihak kerajaan harus mengambil serius untuk menangani masalah buli siber ini.

Apabila peruntukan untuk mengetatkan kesalahan pembulian siber ini digubal kelak, pihak kerajaan perlu memastikan prosedur pembebanan bukti, pendakwaan dan sebagainya adalah komprehensif serta mempermudahkan prosedur pendakwaan dibuat ke atas mana-mana pembuli siber.

Nasihat saya, jika anda rasa anda sedang dibuli di mana-mana platform internet seperti Facebook, Instagram dan sebagainya, sila laporkan kesalahan buli siber tersebut kepada SKMM dan mohon agar siasatan dibuat di bawah Seksyen 233(1), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Anda juga boleh membuat aduan secara atas talian di https://aduan.skmm.gov.my/.

Jangan biarkan diri anda, keluarga dan orang di sekeliling anda menjadi mangsa pembulian siber!


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.