JHEAINS tahan wanita buat 'live' sambil minum air ketika Ramadan

KUALA PILAH - Tindakan seorang wanita Muslim membuat siaran langsung (live) sambil minum air secara terbuka pada bulan Ramadan mengundang padah apabila dia ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk siasatan lanjut.
Menerusi video tular, wanita terbabit dilihat tanpa rasa bersalah memaklumkan kepada netizen bahawa dia berbangga tidak berpuasa, apabila ditegur warganet kerana tidak menjaga sensitiviti pada bulan Ramadan.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum dan memberi perhatian serius terhadap hantaran terbabit yang tular pada 23 Februari lepas.
"Video berkenaan memaparkan seorang wanita Muslim yang didakwa telah menghina atau mencela agama Islam.
"Hasil siasatan mendapati, pemilik aplikasi TikTok berkenaan telah membuat siaran langsung pada Ahad lepas kira-kira jam 6.45 petang untuk berinteraksi bersama pengikutnya di media sosial dan telah melakukan tindakan terbuka dengan makan dan minum semasa siaran langsung tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, wanita berusia 27 tahun itu telah ditahan di rumahnya di Kuala Pilah pada jam 12 tengah hari, Selasa dan dibawa ke bahagian penguatkuasaan JHEAINS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, berkaitan kesalahan penghinaan atau pencelaan terhadap agama Islam.
Katanya, wanita berkenaan bagaimanapun dilepaskan pada jam 10 malam hari sama selepas keterangannya selesai diambil.
"Orang ramai khususnya masyarakat Islam dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap sensitiviti agama dan menghormati bulan Ramadan dengan amalan dan perilaku murni sesuai dengan kehendak Islam.
"JHEAINS sentiasa komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di Negeri Sembilan diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
Ringkasan AI
- Wanita Muslim ditahan kerana buat siaran langsung minum air pada bulan Ramadan
- Video tular memaparkan wanita tersebut berbangga tidak berpuasa
- Pengarah JHEAINS mengambil maklum video itu sebagai penghinaan terhadap Islam
- Wanita berusia 27 tahun itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah
- Masyarakat Islam dinasihatkan sensitif dan menghormati bulan Ramadan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


