Majikan swasta perlu patuhi akta buruh

M Kulasegaran - Foto sumber internet
M Kulasegaran - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua majikan di negara ini perlu mematuhi akta berkaitan perburuhan yang telah diperuntukkan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, sekiranya terdapat sebarang kekeliruan dan memerlukan penjelasan lanjut, majikan atau pekerja boleh mendapatkan khidmat nasihat perburuhan di Pejabat Tenaga Kerja yang berhampiran.

"Saya ingin menegaskan bahawa semua majikan di negara ini hendaklah mematuhi akta yang diperuntukkan oleh kerajaan," katanya menerusi satu kenyataan media di Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan sebuah syarikat yang enggan mengisytiharkan 30 Julai 2019 sebagai hari kelepasan am tambahan sempena hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah kenyataan daripada sebuah syarikat yang memaklumkan bahawa mereka tidak akan mengisytiharkan 30 Julai sebagai hari kelepasan am.

Bagaimanapun semalam syarikat berkenaan tampil memperbetulkan keadaan dengan memaklumkan bahawa mereka menghormati perintah berkenaan.

"Pihak kerajaan telah mengisytiharkan bahawa pada 30 Julai 2019 sebagai hari kelepasan am tambahan sempena hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kami mengambil maklum bahawa ia juga merupakan cuti umum kepada pekerja syarikat swasta.

"Justeru itu, pihak syarikat kami iaitu Gan Seng Printing (M) Sdn Bhd menghormati keputusan tersebut dan mematuhi undang-undang seperti yang termaktub dalam Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369)," petik kenyataan syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, syarikat berkenaan juga memberitahu bahawa mereka akan lebih berhati-hati dan menyemak dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

Tarikh 30 Julai yang diumumkan kerajaan Persekutuan sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah cuti umum yang juga diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta.