Waktu pendidikan agama patut ditambah

Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor. - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Waktu yang diperuntukkan bagi pelajaran agama di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan sepatutnya ditambah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, peruntukan waktu sedia ada amat sedikit dan tidak mencukupi untuk memberi kefahaman komprehensif tentang asas ajaran agama untuk pembentukan peribadi yang baik.

"Tidak dinafikan kepentingan subjek-subjek lain seperti Sains dan Matematik untuk lepasan sekolah berkenaan mendapat pekerjaan, tetapi kita juga mesti faham bahawa pendidikan agama (Islam) juga sama penting.

"Atau lebih lagi diperlukan sebagai elemen utama bagi pengukuhan jati diri bangsa di samping menjadi benteng ampuh bagi membendung masalah jenayah dan keruntuhan moral.

"Kita menyokong cadangan untuk mengkaji semula kurikulum dan silabus pelajaran sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Namun biarlah kajian itu bersifat menyeluruh dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum dimuktamadkan dan dijadikan polisi untuk dilaksanakan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa subjek agama Islam di sekolah kebangsaan diberi tumpuan berlebihan sehingga mengakibatkan lepasan sekolah itu kurang mengetahui subjek-subjek lain.

Menurut Wan Salim, pendidikan Islam di sekolah hanya bertujuan memberi asas pengetahuan agama dan menumpukan kepada bidang pengajian fardhu ain sahaja.

"Pelajaran sedemikian tentunya tidak mampu melahirkan ulama seperti didakwa Dr Mahathir, kerana ini memerlukan seseorang mendalami subjek-subjek tambahan termasuk ilmu Usul Fiqah dan Qawa'id Fiqhiyyah, 'Ulum al-Qur'an, 'Ulum Hadith berserta Mustalah al-Hadith, di samping ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Bahasa Arab yang merangkumi Nahu, Saraf dan Balaghah.

Artikel Berkaitan:

"Di samping ilmu-ilmu tersebut, diperlukan bakat dianugerahkan ALLAH kepada seseorang, kerana tanpa bakat seseorang tidak akan alim walaupun ia berusaha keras ke arah matlamat yang dikehendakinya," katanya.