Mahkamah benar pendakwa raya warta notis tuntut lebih RM2 juta dari UMNO Pahang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Pahang yang dikatakan berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Rozana Ali Yusof memutuskan perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memohon kepada mahkamah satu perintah penyiaran notis kepada pihak ketiga.

Dalam prosiding itu Farah Yasmin memohon tempoh dua bulan untuk mewartakan notis berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO akan kemuka hujah di mahkamah buktikan wang milik parti

Peguam, Mohd Shukri Ahmad Mansor yang hadir mewakili responden Badan Perhubungan UMNO Pahang juga tidak membantah permohonan tersebut.

Mohd Shukri bagaimanapun memaklumkan pihaknya memerlukan tambahan masa untuk memfailkan afidavit.

Sehubungan itu mahkamah menetapkan 18 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, UMNO bahagian Pekan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan pendakwa raya untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang RM700,000 yang disita oleh SPRM kerana dipercayai terlibat skandal 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Peguam Datuk M Reza Hassan memaklumkan perkara tersebut ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut M Reza, notis bantahan awal telah difailkan pada 22 Julai lalu dan setakat ini pihaknya masih belum menerima maklum balas daripada pihak pendakwa raya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pendengaran notis bantahan awal berkenaan.

Dalam pada itu, Naza Quest Auto Sdn Bhd (Naza Quest) mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan kes pelucutan hak wang berjumlah RM269,662 yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Peguam Md Yunos Shariff yang Naza Quest cuba untuk menyelesaikan kes itu dan surat representasi telah dihantar kepada SPRM pada 23 Julai lalu.

Pada masa yang sama, Yayasan Tun Rahah yang diwakili peguam Amin Othman yang telah menghantar surat bertarikh 9 Julai berhubung tawaran penyelesaian kes tersebut.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai pihaknya memerlukan masa untuk menjawab surat berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk keputusan representasi dua responden berkenaan.

Dalam pada itu pendakwa raya memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mewartakan notis bagi melucut hak

SPRM baru-baru ini telah memfailkan permohonan perlucutan hak sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.