Kawalan H-Infiniti untuk tanah tinggi

A
A
A

BEBRAPA hari yang lalu, tular video banjir mengejut di Genting Highlands dalam kalangan pengguna aplikasi WhatsApp di negara ini.

Penulis tidak terkecuali, turut menerima empat video yang memaparkan banjir mengejut kawasan percutian terkenal itu.

Dalam satu video tersebut, terdengar suara orang menjerit meminta pemandu agar tidak meneruskan ke puncak Genting Highlands kerana air deras meluncur dari atas dan dibimbangi boleh mendatangkan musibah kepada pengguna jalan raya.

Penulis percaya pengurusan Genting Highlands mampu mengawal situasi berkenaan kerana sudah berpengalaman menangani isu banjir di kawasan pergunungan.

Penulis berkata demikian kerana sehingga kini belum ada ulasan tentang video tular banjir di Genting Highlands. Adakah keadaan sebenarnya terkawal atau ia sekadar banjir kecil yang tidak perlu dipandang serius.

Begitupun, penulis ada perasaan sentimental terhadap Genting Highlands. Pernah beberapa tahun lalu, penulis dibawa oleh bekas editor sukan sebuah akhbar terkemuka negara ini untuk melihat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Khabarnya perlumbaan LTdL mencapai status Hors Classe, selaku perlumbaan paling getir di Asia hanya kerana kemuncak Genting Highlands.

Oleh kerana itu penulis mempunyai beban sosial untuk mengemukakan isu banjir di Genting Highlands. Secara kebetulan, pada hujung Mei lalu, penulis menerima sebuah emel daripada teman yang menceritakan banjir lumpur di Jalan Ulu Merah Ringlet dan Jalan Blue Valley di Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Kejadian banjir ini perlu dikupas kerana secara jujurnya Malaysia hanya memiliki dua kawasan pergunungan yang indah iaitu di Genting Highlands dan Cameron Highlands. Fraser’s Hill agak kurang hebatnya jika dibanding dengan Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Justeru, musibah berkaitan banjir tidak kira di kawasan datar atau tanah tinggi berlaku akibat perbuatan manusia yang rakus merombak asal kejadian muka bumi, selain tidak menghayati ‘Theory of Failure’ (Teori Kegagalan) dan ‘Life Cycle’ (Kitaran Hayat).

Mereka juga kurang menitikberatkan soal ‘preventive maintenance’ atau penyelenggaraan pencegahan dalam reka bentuk kejuruteraan geoteknik serta ekosistem pembangunan Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Penulis menerima maklumat lebih kurang 7,600 hektar atau 11 peratus daripada permukaan Cameron Highlands ialah kawasan pertanian. Cameron Highlands kini menjadi pusat pelancongan penanaman sayuran dan buah-buahan tanah tinggi yang popular di negara ini.

Hasilnya dieksport ke negara luar seperti Jepun, Thailand, Korea, Hong Kong, Taiwan dan beberapa negara maju yang lain.

Seorang sahabat yang sudah tinggal lebih 10 tahun di Cameron Highlands memaklumkan penulis lebih 11,000 hektar kawasan pertanian diteroka secara haram.

Fenomena kejadian alam semula jadi perlu dikaji supaya ia boleh dijadikan pelajaran dan rujukan kepada perkembangan serta penerapan sistem kawalan yang canggih. Sistem kawalan yang holistik perlu 'dibangunkan' dalam erti kata ia mampu ditafsirkan ke tahap tertentu dengan tepat dan pantas dalam sesuatu pengoperasian kemanusiaan.

Dengan keyakinan kejadian musibah di Malaysia pasti ada ilmu kejuruteraan tersirat yang hendak disampaikan oleh Sang Pencipta, penulis percaya kerajaan harus mula membangunkan sistem kawalan tertinggi dalam sejarah pembangunan sistem kawalan kejuruteraan iaitu Sistem Kawalan H-Infiniti.

Malah, penulis kini sedang mengetuai sekumpulan saintis untuk membangunkan Sistem Kawalan H-Infiniti. H terbit daripada perkataan garisan Hidrogen yang berada di alam semesta.

Jadi, Hidrogen Infiniti (H-Infinity) bermaksud garisan hidrogen yang tiada penghujungnya supaya dapat diaplikasikan sebagai sistem kawalan pembangunan Cameron Highlands secara keseluruhan tanpa sedar.

Kesimpulannya, penulis percaya Sistem Kawalan H-Infiniti mampu untuk memberi dimensi baharu kepada kawalan operasi berhubung musibah termasuk kejadian banjir di kawasan pergunungan.

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor