Lebih 100 hakisan tanah dilapor di Segambut tahun lalu

Hannah melawat kawasan runtuhan di Bukit Tunku untuk mendapatkan perkembangan terkini kejadian berkenaan, hari ini. - Foto Awani
Hannah melawat kawasan runtuhan di Bukit Tunku untuk mendapatkan perkembangan terkini kejadian berkenaan, hari ini. - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, mendedahkan lebih 100 insiden hakisan tanah dilaporkan berlaku di dalam kawasan Parlimen berkenaan pada tahun lalu.

Hannah berkata, kejadian tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada Selasa, turut berlaku di kawasan Parlimen itu.

"Kita terima lebih 100 aduan mengenai hakisan tanah pada tahun lalu, kita tahu di kawasan Segambut dan Lembah Pantai ini, banyak kawasan berbukit," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian tanah runtuh, di sini, pada Rabu.

Hannah berkata, beliau telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkasakan Unit Unit Cerun, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran.

"Ia bagi memastikan pasukan itu mempunyai lebih ramai pakar dalam mengendalikan kes hakisan dan tanah runtuh," katanya.

Beliau berkata, pemerkasaan unit itu penting untuk memastikan tindakan yang lebih berkesan dan segera untuk mengelakkan insiden lebih serius berlaku akibat tanah runtuh.

"Saya minta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh memperkasakan unit tersebut kerana kes banyak, kemungkinan besar sumber manusia mungkin tidak cukup untuk membantu," katanya.

Mengulas kejadian tanah runtuh berhampiran bangunan MACA itu, Hannah berkata, setakat ini, beliau berpuas hati dengan tindakan dan kerjasama dijalankan oleh pelbagai agensi bagi menangani masalah itu.

"Kejadian ini sangat bernasib baik kerana tidak membabitkan kemalangan jiwa. Laporan forensik sedang dijalankan dan kita akan tunggu sebelum memberi komen lanjut," katanya.

Pada Selasa, dilaporkan seramai 76 petugas Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Kejadian itu melibatkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.