Penubuhan 'Malaysia Hall Gaza' disambut baik Kedutaan Palestin

Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali - Foto BERNAMA
Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedutaan Palestin di sini menyambut baik penubuhan 'Malaysian Hall Gaza', sebuah pusat sehenti yang menyediakan maklumat mengenai Malaysia di samping menjadi pusat untuk aktiviti kemanusiaan di kawasan berkenaan.

Berbeza dengan 'Malaysia Hall' yang lain di seluruh dunia, pusat sehenti yang terletak di daerah Tal Al-Hawa di bandar Gaza itu, hasil kerjasama lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, rakyat Malaysia dari semua peringkat selama ini sentiasa menyokong perjuangan Palestin dan apa yang diusahakan gabungan NGO Malaysia amat dihargai.

"Inisiatif untuk mewujudkan 'Malaysian Hall Gaza', saya menyifatkannya sebagai permulaan. Insya-ALLAH, kita akan mempunyai dewan yang sama di Baitulmaqdis, Ramallah dan di Hebron.

"Kami mahu melihat bendera Malaysia di seluruh Palestin," katanya ketika ditemui di kedutaan di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Alim Araby berkata, inisiatif berkenaan adalah bagi menyokong usaha kerajaan yang selama ini berterusan menentang kezaliman rejim zionis Israel.

"Kita disambut baik oleh banyak pihak. Kerjasama ini kita akan lakukan melangkaui sokongan politik. Inilah satu bentuk solidariti yang bukan sekadar menghantar kotak-kotak bantuan, malah lebih daripada itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain mengelak berlaku penindanan dalam kerja-kerja saluran bantuan, 'Malaysian Hall Gaza' juga menyediakan maklumat kepada pelajar Palestin yang berminat menyambung pengajian di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tidak dapat informasi tepat. Jadi kita beri maklumat kepada mereka, contohnya terdapat universiti yang menawarkan diskaun," katanya.

Pusat itu yang dirasmikan minggu lepas oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Luar Mohd Nazri Noh bersama Ahmad Sani, dikendalikan 15 petugas, diketuai Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, rakyat Malaysia yang menetap di sana.

Menurut Mohd Nazri beliau turut mencadangkan supaya pusat itu menyediakan pendidikan asas Bahasa Melayu bagi memudahkan pelajar Palestin yang berminat melanjutkan pengajian di negara ini.

"Ini satu usaha yang baik. Kita memberi sokongan kepada usaha seperti ini supaya NGO dapat menyusun atur saluran bantuan mereka," katanya.- Bernama