Kesal Majlis Perundingan Industri Babi dipolitikkan

Jimmy ketika menghadiri majlis itu, semalam.
Jimmy ketika menghadiri majlis itu, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pejabat Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor melahirkan rasa kesal susulan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab mempolitikkan Majlis Perundingan Industri Babi yang berlangsung semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, dijelaskan bahawa majlis anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor yang dirasmikan Exconya, Jimmy Puah Wee Tse itu diadakan setiap dua tahun.

"Program ini anjuran setiap dua tahun dan akhir sekali diadakan pada tahun 2017. Saya kesal ada segelintir orang yang membuat niat jahat sengaja mempolitikkan isu ini.

"Tujuan majlis itu adalah membentang kertas kerja kawalan pencemaran industri babi dan pendedahan ke arah penternakan moden.

"Memang hasrat kerajaan negeri untuk memodenkan industri penternakan babi selaras dengan kaedah lebih bersih dan proaktif dengan mengambil kira masyarakat berbilang kaum serta keperluan menjaga sensitiviti agama sebahagian rakyat," katanya.

Sebelum ini, warga net kecoh apabila mempertikaikan soal penganjuran program tersebut yang rata-rata dilihat secara negatif.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor telah mencadangkan agar mengharmonisasi penternakan babi secara moden 'Pig Farming'.

"Konsep ini perlu diperluaskan dan dilaksana di Johor tapi dengan mengamalkan sistem kandang tertutup, kumbahan sifar, amalan penternakan baik dan zon penampan 200 meter.

Artikel Berkaitan:

"Konsep ini dapat bantu industri tingkatkan kualiti, produktiviti dan keselamatan hasil pengeluaran ladang serta elakkan penularan penyakit berjangkit," katanya.

Katanya, konsep itu juga meningkatkan imej penternak dan ladang daripada aspek penjagaan alam sekitar kerana berupaya mematuhi had pelepasan efluen mengikut piawaian ditetapkan.

Setakat ini terdapat lima dari 46 ladang telah mengamalkan kandang tertutup sepenuhnya dan Johor merupakan pengeluar ketiga terbesar selepas Perak serta Pulau Pinang.