X

Kindly register in order to view this article
!

Peka kesal penahanan berterusan orang asli

Kerja-kerja mengalihkan sekatan dilaksanakan syarikat pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak setelah laporan polis dibuat ke atas tiga lelaki orang asli yang membuat sekatan itu.
A
A

IPOH - Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) kesal dengan tindakan penahanan berterusan orang asli di Gerik yang mempertahankan tanah adat mereka sebagaimana dijamin di bawah Perlembagaan negara baru-baru ini.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Perak mendakwa sekatan dibuat tiga lelaki orang asli bagi menghalang aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Air Chepam dibuat atas tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), adalah tidak matang.

Menurutnya, kesemua orang asli di Gerik bersatu menentang kerakusan kerajaan negeri menceroboh tanah adat mereka.

"Peka menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersatu mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang cuba merampas hak mutlak orang asli terhadap tanah adat mereka.

"Saya menegaskan bukan orang asli yang bertindak menceroboh tanah kerajaan, namun perkara sebaliknya dilakukan kerajaan negeri di mana tanah adat diduduki mereka sejak sebelum kemerdekaan telah diceroboh," katanya kepada media, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Perak bahawa semakan dokumen jabatan itu mendapati sebuah syarikat pembalakan mempunyai kelulusan pembalakan untuk mengusahasil kawasan seluas 80 hektar di kawasan Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak hari ini.

Menurut Jabatan Perhutanan negeri itu, syarikat berkenaan telah selesai menjalankan pengusahasilan seluas 38 hektar dan baki 42 hektar yang masih belum diusahasilkan terletak di Hutan Simpan Air Chepam, iaitu kawasan yang menjadi pertikaian orang asli Sungai Papan.

Berdasarkan kenyataan itu, satu laporan polis dibuat syarikat pembalakan berkenaan sebelum tiga orang asli suku Temiar ditahan kelmarin kerana dipercayai menjadi dalang membuat sekatan tersebut.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak dimaklumkan syarikat pembalakan itu membuat laporan polis bagi menjamin keselamatan pekerja, jentera serta memohon bantuan keselamatan daripada polis untuk merobohkan sekatan berkenaan.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa mendedahkan tiga lagi lelaki orang asli ditahan pagi ini selepas sekatan baharu dibina di lokasi sama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus