Mahkamah benar permohonan Najib akses dokumen bank

Muhammad Shafee Abdullah
Muhammad Shafee Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengakses maklumat dan dokumen akaun banknya di Ambank bagi tujuan menyediakan pembelaannya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya menghalang bank daripada memberikan maklumat dan dokumen bank untuk membolehkan tertuduh mendapat perbicaraan yang adil.

Beliau berkata, tertuduh sebagai pemegang akaun berhak untuk mendapat maklumat dan dokumen yang disediakan oleh bank.

Sebaliknya, SPRM tidak dihalang daripada meneruskan siasatannya dan berhak untuk merampas dokumen dan maklumat sebagaimana yang dibenarkan di bawah akta SPRM, kata beliau.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menghalang anak guamnya daripada mengakses dokumen yang berkaitan dengan akaun banknya sendiri.

"Salinan asal telah berada dengan suruhanjaya, tidak timbul bahaya jika dokumen dimanipulasi atau dimusnahkan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berkata, SPRM diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Ambank, memandangkan perkara itu masih dalam siasatan.

"Perkara ini akademik, memandangkan bank telah memberikan dokumen kepada Najib dengan kelulusan SPRM," katanya dan menambah bahawa tidak dinafikan perbicaraan perlu adil.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 Julai, Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib tidak dibenarkan mendapatkan dokumen berkaitan penyata akaun Ambanknya.

Beliau berkata, pembelaan meminta dokumen daripada Ambank untuk menyediakan pembelaan anak guamnya bagaimanapun dimaklumkan oleh pegawai bank melalui sepucuk surat yang menyatakan bahawa mana-mana pihak yang memohon mendapatkan dokumen perlu berhubung SPRM terlebih dahulu.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.