Syor e-Undi untuk pengundi pos luar negara

Chew Chong Sin
Chew Chong Sin
A
A
A

KLUANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadang melaksanakan sistem e-Undi dengan teknologi pengecaman wajah bagi mengatasi masalah dihadapi pengundi pos di luar negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, e-Undi ini memiliki sistem keselamatan yang tinggi sekali gus dapat menyelesaikan masalah dihadapi pengundi pos pada PRU14 lalu.

“Antara masalah dihadapi mereka (pengundi pos) seperti undi fizikal bercetak yang tidak sempat dikirim kepada pengundi di luar negara selepas penamaan calon dan kertas undi dicetak sehingga tidak sempat mengirim balik kertas undi tersebut ke Malaysia.

“Selain itu, kos kirim dan cetak yang tinggi, kehilangan kertas undi dalam pengiriman, risiko membeli undi dan lain-lain turut menjadi masalah kepada pengundi pos di luar negara setiap kali PRU (Pilihan Raya Umum),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Bersih Shanghai berkata, di bawah sistem pengundian kini, semua rakyat Malaysia yang sudah berdaftar sebagai pemilih dan tinggal di luar negara kecuali Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan di Indonesia layak mengundi pada pilihan raya melalui kaedah mengundi secara pos.

Menurutnya, hampir dua juta rakyat Malaysia tinggal di luar negara termasuk lebih 8,000 menetap di Shanghai, China dan sistem e-Undi itu perlu dilaksanakan SPR sebagai usaha transformasi pilihan raya di negara ini.

“Di bawah cadangan ini, SPR diminta melaksanakan proses pendaftaran pemilih rakyat Malaysia di luar negara dan mengumpulkan data wajah berkenaan melalui Pejabat Kedutaan, Pejabat Konsulat dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.

“Ini bagi membolehkan pengundi ini memilih untuk mengundi di Pejabat Kedutaan atau Pejabat Konsulat dengan sistem e-Undi bersama teknologi pengecaman wajah mengikut tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau yakin sekiranya langkah reformasi ini dapat dilaksanakan, jumlah pengundi di negara ini dijangka akan bertambah daripada 15 juta orang sehingga melebihi 20 juta orang.

Katanya, e-Undi ini juga akan dapat mengelakkan kos pengangkutan pengundi luar negara, terutamanya 400,000 pengundi yang menetap di Singapura untuk mengharungi kesesakan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada hari mengundi.

“Teknologi pengecaman wajah ini mempunyai ketepatan yang tinggi, kos rendah selain merupakan satu teknologi luas digunakan pada masa kini dan yang paling penting boleh mengatasi masalah penipuan dalam penipuan cap jari,” katanya.