Bawa budak atas but kereta: Exco gesa polis bertindak tegas

Gambar video tular menunjukkan dua kanak-kanak meniarap di belakang kereta dipercayai berlaku sekitar Pasir Gudang. (Gambar kecil: Cai Tung)
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan tegas harus diambil kepada pelaku bertanggungjawab membiarkan adegan lagak ngeri dua kanak-kanak yang berpaut pada bumbung kereta seperti tular di laman sosial Facebook, semalam.

Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung berkata, perkara itu bagi memastikan tindakan sedemikian tidak lagi berlaku selain memberi pengajaran kepada mereka yang lain.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih atas usaha Polis Daerah Seri Alam yang pantas menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik atau pemandu kereta tersebut serta kanak-kanak yang terbabit dalam video berkenaan.

“Sekali lagi saya mahu memberi ingatan kepada semua bahawa keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain haruslah menjadi keutamaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Cai Tung berkata, ibu bapa atau masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab mendidik anak-anak supaya tidak melakukan aksi-aksi yang mengancam keselamatan diri dan berharap ibu bapa atau penjaga bersikap lebih prihatin, selain tidak menunjukkan pengaruh negatif kepada anak-anak.

“Insiden dua kanak-kanak yang berpaut pada bumbung kereta di Taman Scientex, Pasir Gudang ini tidak sepatutnya berlaku.

“Ia adalah satu perbuatan membahayakan diri kanak-kanak tersebut dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kanak-kanak, pemandu Toyota Vios dicari

Semalam, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihaknya juga sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik atau pemandu kereta Toyota Vios serta kanak-kanak terbabit.

Dua kanak-kanak berserta pemandu kereta jenis Toyota Vios sedang dikesan polis susulan penularan video kanak-kanak meniarap di belakang kereta yang sedang bergerak dipercayai di sekitar Pasir Gudang.

Menerusi video terbabit, didapati perbuatan duduk di atas bonet belakang ketika kenderaan terbabit sedang bergerak dan melanggar isyarat lampu merah boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain.

Kejadian terbabit dipercayai berlaku di kawasan Pasir Gudang dan polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti pemilik serta pemandu kenderaan selain kanak-kanak terlibat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia