'Awang Besol' alami kecelaruan minda

Harimau belang yang diberi gelaran 'Awang Besol' oleh Perhilitan Terengganu berjaya ditangkap pada jam 3.30 petang semalam di kawasan belukar Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun.
Harimau belang yang diberi gelaran 'Awang Besol' oleh Perhilitan Terengganu berjaya ditangkap pada jam 3.30 petang semalam di kawasan belukar Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun.
A
A
A

KUALA NERUS - Seekor harimau belang yang ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas berkeliaran di Besol Lama, Dungun pada Jumaat lalu disyaki dijangkiti virus Canine Temper Disorder.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, virus itu menyebabkan harimau daripada spesies Harimau Malaya berusia lima tahun itu mengalami kecelaruan minda sehingga berubah menjadi jinak yang bertentangan dengan sifat semula jadinya.

"Virus yang disebarkan kucing dan anjing domestik itu biasa menjangkiti haiwan liar seperti harimau tetapi ia kes pertama dilaporkan di Terengganu," katanya kepada pemberita di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Profesor Adjunct Institut Bioversiti Tropika dan Pembangunan Lestari UMT menyampaikan syarahan 'Mengharungi Cabaran Pengurusan Hidupan Liar Masa Hadapan'.

Abdul Kadir berkata, sampel darah harimau berkenaan yang kini ditempatkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungkai, Perak telah diambil dan hasil keputusan ujikaji makmal dijangka diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

Dalam perkembangan sama, beliau menolak kemungkinan harimau 'Awang Besol' itu dibela berdasarkan keadaan fizikalnya yang tidak terurus sewaktu ditemui anggota Perhilitan.

"Sewaktu ditemui, harimau yang mengalami dehidrasi dan bengkak pada bahagian kaki itu tidak menunjukkan ciri-ciri haiwan belaan.

"Siasatan awal juga mendapati kemungkinan besar hanya seekor harimau yang tersesat masuk ke Kampung Besol Lama pada Khamis lalu dan bukan dua ekor seperti didakwa penduduk," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia berdasarkan pemeriksaan anggota Perhilitan di kawasan sekitar hanya menemui kesan tapak kaki 'Awang Besol'.

"Kesan tapak kaki harimau belang itu konsisten milik 'Awang Besol'. Selain itu kita juga menemui kesan tapak kaki seekor harimau bintang yang turut menjadikan kawasan hutan berhampiran kampung tersebut sebagai habitatnya.

"Namun, kita tetap melakukan pemantauan termasuk memasang perangkap dalam tempoh dua minggu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penduduk," katanya.

Jumaat lalu, penduduk Besol Lama gempar apabila dua ekor harimau belang itu didakwa berkeliaran di kampung berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya, seekor pak belang ditangkap