KPDNHEP bongkar sindiket pindah gas

Serbuan dilakukan ke atas sebuah premis di Jalan Kuan Poh Fatt, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Sri Kembangan Selangor. FOTO: KPDNHEP Selangor
Serbuan dilakukan ke atas sebuah premis di Jalan Kuan Poh Fatt, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Sri Kembangan Selangor. FOTO: KPDNHEP Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah premis yang menjalankan kegiatan pemindahan gas petroleum cecair (LPG) secara haram di Jalan Kuan Poh Fatt, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong, Sri Kembangan Selangor semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, dalam serbuan sekitar jam 1 petang itu, sebanyak 198 unit tong LPG berkapasiti 14 kilogram (kg), 82 tong LPG (50kg), sebuah tong LPG (12kg), 280 unit tong LPG kosong dan dua lori dirampas dan disita.

Menurutnya, seorang pekerja tempatan dan dua warga asing berusia antara 20 hingga 30 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut mendapati premis ini beroperasi tanpa lesen hampir setahun berdasarkan maklumat awam serta hasil risikan.

"Anggaran semua rampasan berjumlah RM107,209.60," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zikril berkata, sindiket berkenaan mengaut keuntungan yang tinggi hasil mencuri gas daripada tong LPG 14kg yang diberi subsidi kepada isi rumah.

Katanya, modus operandi digunakan dengan memindahkan gas daripada tiga tong LPG 14kg bersubsidi ke dalam sebuah tong gas LPG industri 50kg, kemudian menjualnya kepada industri.

"Pihak industri yang ingin mengaut keuntungan tinggi juga akan membeli daripada sindiket berbanding terus kepada pemborong memandangkan harga yang ditawarkan lebih rendah daripada harga pasaran industri," katanya.

Artikel Berkaitan: