Dipanggil polis tak akan lemahkan saya: Presiden JMM

Perkongsian Azwanddin yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya.
Perkongsian Azwanddin yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah menegaskan beliau tidak akan berhenti memperjuangkan Melayu dan Islam walaupun terpaksa berdepan dengan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata demikian selepas menerima notis hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Rabu ini bagi membantu siasatan berhubung penyertaannya dalam perhimpunan aman di Putrajaya, baru-baru ini.

“Hari ini pegawai polis hadir ke pejabat JMM dan menghantar notis.

“Kepada semua sahabat perjuangan, saya ulang sekali lagi, biarpun saya sudah beberapa kali pihak PDRM cuba menekan dan ugut saya, itu tidak akan melemahkan perjuangan saya untuk terus bercakap soal bangsa Melayu dan Islam dan akan teruskan pendedahan pendedahan lain,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Dalam hantaran itu, Azwanddin turut memuat naik arahan menghadiri penyiasatan di bawah Seksyen 111 Kanun Keseksaan.

Jumaat lalu, himpunan ‘Justice For Adib’ dianjurkan di mana peserta berarak dari Hadapan Masjid Putra menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada 2.35 petang.

Himpunan yang disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (Ngo) itu dianjurkan bagi menuntut keadilan atas kematian Pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 17 Disember lalu.

Himpunan itu turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty meletakkan jawatan.

Artikel Berkaitan:

Hanya tiga wakil NGO dibenarkan masuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad manakala lebih 300 peserta perhimpunan menunggu di luar sambil mendengar ceramah.