Kutip cukai petrol: Guan Eng bidas Najib

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan kerajaan telah mengenakan cukai sebanyak 30 sen seliter kepada petrol RON95 sejak November 2018.

Menurutnya, kenyataan mendakwa kerajaan menerima kutipan cukai jualan sebanyak RM120 juta seminggu seperti didakwa Najib juga adalah palsu.

“Fitnah beliau adalah sama dengan dakwaan sebelum ini bahawa 1MDB menguntungkan Malaysia bila satu dunia pun tahu bahawa 1MDB ialah skandal rasuah terbesar dalam sejarah yang membebankan Malaysia dengan hutang kerajaan Persekutuan lebih RM1 trilion.

“Ataupun dakwaan beliau bahawa masalah bayaran balik GST (cukai barangan dan perkhidmatan) sebanyak RM19.4 bilion sejak 31 Mei 2018 tidak wujud.

“Beliau berkata demikian sungguhpun sejak 2015, lebih 121,429 individu dan empat syarikat belum dapat bayaran balik termasuk Shell, yang sendiri diakui oleh bekas ahli Kabinetnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, kerajaan akan mula melaksanakan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar untuk golongan yang layak.

“Dalam keadaan harga minyak yang naik lebih daripada harga RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk dieselkerajaan akan mula melaksanakan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar untuk golongan yang layak.

“Bagi golongan bukan sasar, harga runcit petrol RON95 akan diapungkan secara terkawal bagi mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan serta selaras dengan hasrat pemberian subsidi yang sepatutnya memanfaatkan golongan sasar sahaja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Najib memuat naik status dalam laman Facebooknya mengatakan harga petrol RON95 sepatutnya berharga RM1.86 seliter jika dikira berdasarkan data terbaru dari Mean of Platts Singapore (MOPS).

Tambahnya, rakyat juga sedang memberi subsidi minyak sebanyak 34 sen untuk setiap liter kepada kerajaan PH sempena cuti sekolah dan perayaan kini.

“Tetapi Menteri Kewangan kita masih malu untuk mengaku agar senang untuk Senyap-Senyap Tibai.

“Kata nak bagi subsidi minyak kepada rakyat, rakyat juga yang beri subsidi kepada kerajaan,” tulisnya.