MB Perak digesa arah dua Exco bercuti

Sazali (dua dari kanan) ketika menyerahkan memorandum berkenaan hari ini.
Sazali (dua dari kanan) ketika menyerahkan memorandum berkenaan hari ini.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digesa mengarahkan kedua-dua Exco kerajaan negeri yang berdepan siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercuti buat sementara waktu sehingga siasatan berkait salah laku itu selesai.

Setiausaha Pertubuhan Rangkaian Organisasi98@Reformasi Cawangan Perak, Sazali Shamsudin berkata, gesaan itu dibuat demi mempertahankan prinsip integriti kerajaan di negeri ini selaras manifesto Pakatan Harapan (PH) bertemakan 'Bersama Harapan Perak Kembali Gemilang'.

"Laporan polis oleh pembantu rumah ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong pada 8 Julai lalu atas dakwaan pencabulan selain laporan polis oleh Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean terhadap ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari pada 13 Mei 2019 yang didakwa membocorkan minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mendapat komisen daripada dua syarikat pertanian telah menjejaskan kewibawaan kerajaan serta penyokong PH di negeri ini.

"Oleh itu, pemimpin-pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku dan sedang disiasat adalah wajar bercuti sementara daripada menjalankan tugas sehingga siasatan ke atas mereka selesai," katanya pada sidang media sempena penyerahan memorandum Mempertahankan Integriti Dalam Kerajaan PH Perak ke pejabat Menteri Besar Perak hari ini.

Menurutnya, tindakan itu penting kerana ia memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan adil serta menunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin tersebut tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi serta kedudukan dalam kerajaan," katanya.

Difahamkan, memorandum berkenaan diterima Pegawai Tadbir Pejabat Menteri Besar Perak, Hanita Alang Ismail.

Sementara itu, Hanita memaklumkan memorandum berkenaan akan dibawa kepada pihak berkaitan dan sebarang perkembangan lanjut mengenainya akan dimaklumkan kemudian.

Artikel Berkaitan: