Selat Melaka selamat, tak terima ancaman luar

Tan-Sri-Zulkifli-Zainal-Abidin - Foto BERNAMA
Tan-Sri-Zulkifli-Zainal-Abidin - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perairan Selat Melaka kekal selamat dan tidak menerima sebarang ancaman luar terhadap keselamatan, kata Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Beliau berkata tiada sebarang petunjuk perairan yang sinonim sebagai laluan perdagangan antarabangsa itu diancam isu keselamatan seperti dibimbangkan pihak luar.

“Mana-mana negara boleh mengambil pendekatan mempertingkatkan kawalan dan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga mereka. Namun sepanjang pengetahuan saya, tiada sebarang petunjuk berhubung tanggapan mereka bahawa perairan negara kita tidak selamat.

“Itu kenyataan saya untuk menyatakan bahawa perairan Selat Melaka adalah selamat,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang melakukan lawatan kerjanya ke Markas ATM di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan media luar negara yang melaporkan bahawa China menyatakan kebimbangan mengenai tahap keselamatan perairan Selat Melaka milik negara.

Menurut laporan beberapa media luar itu, China didakwa bertindak sedemikian susulan kehilangan sebuah kapal tangki berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berlayar di Selat Hormuz baru-baru ini.

Kementerian Pengangkutan China juga dilaporkan menggesa supaya syarikat perkapalan dari negara itu mempertingkatkan keselamatan sewaktu belayar di Selat Melaka.

Turut hadir semasa kunjungan itu ialah Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid pula diiriingi Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman Datuk Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad.

Turut dibincangkan ialah kesediaan ATM mempertimbangkan cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya warga polis boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tentera.

“Perkara itu ada dibincangkan namun ia memerlukan perbincangan mendalam. Ia melibatkan isu peruntukan serta isu lain yang perlu diteliti,” kata beliau dan menambah pihaknya turut membincangkan usaha meningkatkan keselamatan di sempadan negara termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (EssCom). -Bernama