Penganggur dituduh rompak, cederakan guru wanita

Tertuduh (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan seorang guru di parkir sebuah pusat beli-belah pada minggu lalu.
Tertuduh (tengah) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan seorang guru di parkir sebuah pusat beli-belah pada minggu lalu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan merompak dan mencederakan seorang guru di parkir sebuah pusat beli-belah pada 10 Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lim Wee Kiat, 26, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan ke atas harta milik Nurfatin Azlina Hamzah, 30 dan ketika melakukan jenayah tersebut, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan Wee Kiat kira-kira jam 2.30 petang di tempat letak kenderaan B2 Lane 3, Aeon Bandaraya Melaka pada 10 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban ketika pendakwaan memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatrik ekoran tertuduh mempunyai rekod rawatan mental.

Norma kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah dan menetapkan 19 Ogos untuk sebutan semula kes bagi mendengar laporan kesihatan.

Artikel Berkaitan: