Hari Malaysia memperingati penyatuan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept adalah hari yang signifikan bagi seluruh rakyat untuk memperingati usaha pemimpin serta rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 untuk hidup bersama sebagai sebuah negara dan bangsa.

Hari Malaysia memberikan makna yang cukup besar kepada rakyat kerana ia adalah detik penting dalam menyatukan rakyat di ketiga-tiga wilayah pada ketika itu.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, Hari Malaysia bukan hanya untuk memperingati fakta sejarah pembentukan Malaysia tetapi untuk memperingati semangat dan visi di sebalik pembentukan itu.

“Pembentukan Malaysia juga dilihat sebagai satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi para pemimpin di ketiga-tiga wilayah dalam usaha mencapai kemajuan, kesejahteraan dan keamanan bersama.

“Kesemuanya mempunyai pendirian sendiri dalam memperjuangkan nasib ke arah kebaikan untuk negara, negeri dan rakyat di bawah pimpinannya dari pengaruh komunis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kini, kata Dr Yii, sambutan Hari Malaysia juga dilihat sebagai peringatan kepada semua untuk melihat kembali asas dan prinsip yang telah dimulakan oleh pemimpin pada ketika itu.

“Selain perlu memperkukuhkan persepaduan sosial dan integrasi nasional, kita juga tidak harus lupa untuk untuk memgembalikan hak-hak yang telah dipersetujui bersama.

“Sejak pembentukan Malaysia, banyak kesepakatan dan persefahaman yang perlu dipenuhi serta dituntut. Oleh itu, secara peribadi bagi saya selain sebagai peringatan ia juga untuk menyegarkan kembali sejauh mana pencapaian yang telah kita kecapi bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau sangat berbesar hati kerana sambutan Hari Malaysia bakal dianjurkan di Kuching pada 16 Sept ini, serta mencadangkan agar sambutan itu turut disambut di Putrajaya bagi memberi peluang kepada rakyat di semenanjung merasai sendiri dan bersama menghayati sambutan tersebut.

Sementara itu, seorang guru Bita Chia, 37, berkata Hari Malaysia ialah hari untuk seluruh rakyat Malaysia, maka ia perlu diraikan bersama di seluruh pelosok negara.

“Justeru itu, sambutan Hari Malaysia perlu disambut di negeri-negeri lain sepertimana sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos, supaya seluruh rakyat memahami erti sebenar penyatuan negara, sungguhpun kita terdiri daripada pelbagai budaya, kaum, agama serta pelbagai adat resam tetapi semangat Malaysia bersatu harus digenggam.

“Sikap bertolak ansur dan persefahaman perlu terus dipupuk dan dimantapkan. Kutuk-mengutuk, senda-mempersenda, menghina, memperlekeh pihak lain melalui media sosial boleh menjejaskan perpaduan sosial dan integrasi nasional, hentikan sikap-sikap demikian dalam usaha kita memantapkan negara agar dipandang tinggi dan dihormati oleh negara maju,” katanya.

Pegawai media Khairul Adzlan Alias, 32, berkata Hari Malaysia sebagai sebuah pembentukan negara yang merdeka dan berdaulat, ia juga adalah satu titik sejarah yang amat penting.

“Selain itu, ia juga dilihat simbol penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, di mana seluruh rakyat harus menghormati antara satu sama lain dan menghargai keunikan kepelbagaian diversiti kaum dan etnik di Malaysia.

“Bersamalah kita menuju ke arah Malaysia yang makmur, maju dan gemilang, pertahankan kedaulatan dan maju ke hadapan, usahlah kita membawa sentimen-sentimen negatif yang boleh menjejaskan kemajuan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Perjanjian Malaysia (MA63) telah ditandatangani di London pada 7 Julai 1963 dan menjadi detik permulaan pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963.

MA63 diperkenankan pemerintah tertinggi British, Queen Elizabeth II, disusuli Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail pada 26 Ogos 1963.

Bertitik tolak daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu, maka wujudlah Akta Malaysia yang kini sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Tahun ini sambutan Hari Malaysia yang bertemakan “Sayangi Malaysia, Malaysia Bersih” yang menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik akan diadakan di Padang Merdeka, Kuching dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan merasmikannya. - Bernama