Dua bekas pegawai kanan TUDM bebas tuduhan rasuah RM600,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan dua bekas pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan rasuah sebanyak RM600,000, lapan tahun lalu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Leftenan Kolonel (B) Kamal Baharin Nali, 50, dan Kapten (B) Fadzil Noor Alias, 40, di akhir kes pendakwaan.

Menurut pertuduhan pertama, Kamal Baharin didakwa memperoleh rasuah daripada pemilik syarikat ARG Tech Sdn Bhd, Ab Rahim Ghalim melalui Wan Ahmad Idzham Wan Sulaiman dalam bentuk dua keping cek Affin Bank Berhad berjumlah RM600,000.

Cek itu sebagai upah membantu Ab Rahim mendapatkan bayaran tertunggak berjumlah RM14.5 juta bagi 52 invois untuk kerja-kerja kontrak.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di ARG Tech, No.9 Jalan 1/8, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini, pada 14 Dis 2011.

Kamal Baharin juga turut didakwa meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM1.2 juta daripada Ab Rahim bagi tujuan yang sama.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hotel Marriot Putrajaya IOI Resort City, Putrajaya antara Ogos hingga Sept 2011.

Bagi pertuduhan memperoleh rasuah dia dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala bagi pertuduhan meminta rasuah, Kamal Baharin didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Jika disabitkan dengan kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, Fadzil Noor didakwa bersubahat dengan Kamal Baharin untuk memperoleh suapan daripada Ab Rahim melalui Wan Ahmad Idzham dalam bentuk dua keping cek Affin Bank berjumlah RM600,000 kononnya sebagai upah membantu Ab Rahim mendapatkan bayaran tertunggak bernilai RM14.5 juta untuk kerja-kerja kontrak yang kesalahan itu telah dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ARG Tech, No.9 Jalan 1/8, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini, pada 14 Dis 2011, mengikut Seksyen 28(1) (c) akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh dan Balwant Singh Sidhu.

Seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu. - Bernama