Dua bekas pegawai kanan syarikat getah ditahan minta rasuah

Lelaki berumur 45 dan 80-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.
Lelaki berumur 45 dan 80-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas pegawai kanan sebuah syarikat swasta industri getah semalam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM100,000 daripada kontraktor untuk mendapatkan projek pembelian mesin dan pembekalan barang.

Menurut sumber SPRM, lelaki berumur 45 dan 80-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira jam 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Sumber itu berkata, mereka dipercayai meminta daripada kontraktor wang suapan berjumlah kira-kira RM83,000 dan RM50,000 untuk kontraktor mendapatkan projek pembelian mesin pemotong serta barangan perindustrian getah antara 2019 hingga 2020.

Majistret Mohd Dinie Shazwan Shukor mengeluarkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Mei kepada lelaki berumur 80-an selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.

Lelaki berumur 45 tahun itu pula direman selama empat hari bermula hari ini hingga 13 Mei.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. - Bernama