Mangsa Sungai Kim Kim saman Dr Sahruddin, Osman, 10 lagi

Kamaruddin menunjukkan writ saman yang difailkan semalam kepada pemberita, hari ini.
Kamaruddin menunjukkan writ saman yang difailkan semalam kepada pemberita, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 171 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim termasuk pelajar, orang awam dan nelayan memfailkan saman ganti rugi RM30 juta ke atas 12 defendan termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Peguam, Kamarudin Ahmad berkata, tuntutan saman itu dibuat atas kecuaian 12 defendan tersebut sebelum dan setelah pencemaran berlaku di Sungai Kim Kim.

"Plaintif yang terdiri daripada 42 pelajar dan lapan orang awam mengalami simptom muntah, lemah badan, pening kepala, batuk, demam, sesak nafas, sakit dada dan sakit tekak akibat terhidu gas toksik pencemaran Sungai Kim Kim.

"Jadi plaintif mahu menuntut ganti rugi sekitar RM30 juta ke atas 12 defendan atas dasar kecuaian sebelum dan setelah berlaku pencemaran," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain Dr Sahruddin yang ketika itu menjawat sebagai Exco Alam Sekitar, plaintif turut menyenaraikan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Ir Che Mohd Dahan Che Jusof; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Zainor Adani serta Ketua Pengarah JAS.

Kesemua defendan ini dikatakan gagal menjalankan tanggungjawab di bawah Akta Kerajaan tempatan 1976, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Air 1920 (disemak1989).

Kamaruddin berkata sesuatu kepada bapa kepada mangsa, Idham Wazir A.Wahab yang turut hadir di pekarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini.
Kamaruddin berkata sesuatu kepada bapa kepada mangsa, Idham Wazir A.Wahab yang turut hadir di pekarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini.

Mereka turut menamakan kerajaan Malaysia, P Tech Resources Sdn Bhd dan tiga individu yang didakwa sebelum ini sebagai defendan.

Artikel Berkaitan:

Dalam saman yang difailkan, mereka menuntut kerajaan Johor bertanggungjawab ke atas masalah kesihatan dialami mangsa pada masa akan datang.

"Plaintif memohon satu perintah agar Kerajaan Johor membiayai kos pemeriksaan kesihatan setiap plaintif bagi tempoh tiga tahun daripada tarikh penghakiman.

"Plaintif juga minta kerajaan Johor membiayai kos rawatan perubatan selama 10 tahun jika didapati mengalami masalah perubatan berbangkit daripada pencemaran toksik Sungai Kim Kim," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, seramai 129 nelayan dari tujuh buah kampung di sepanjang Sungai Kim Kim turut menuntut ganti rugi antara RM15,000 hingga RM30,000 seorang kerana pencemaran itu menjejaskan mata pencarian mereka.

"Ekoran pencemaran tersebut, hasil pendapatan plaintif jatuh merudum, malah sejak 7 Mac orang ramai takut membeli hasil tangkapan yang datang dari kampung nelayan terletak sepanjang Sungai Kim Kim.

"Secara purata plaintif menuntut ganti rugi khas antara RM15,000 hingga RM30,000 seorang," katanya.