Sila log masuk terlebih dahulu.

Seluruh umat berdosa?

A
A
A

BAYANGKAN dua senario yang berbeza ini. Senario pertama, bakal berleluasa satu kemungkaran dalam sebuah negara.

Terdapat tiga hamba ALLAH SWT yang berusaha untuk mencegah kemungkaran ini daripada terus berlaku. Tetapi pada hakikatnya tiga orang ini sahaja tidak cukup untuk berlawan dengan kemungkaran tersebut.

Senario kedua, bakal berleluasa satu kemungkaran dalam sebuah negara. Terdapat hanya tiga hamba ALLAH SWT yang berusaha mencegah kemungkinan ini daripada terus berlaku. Tiga orang ini sangat hebat. Cukup untuk menghapuskan kemungkaran ini.

Persoalannya ialah katakan dakwah adalah fardu kifayah, adakah semua umat berdosa dalam senario pertama? Sudah tentu dalam senario kedua, umat tidak berdosa kerana tiga pendakwah yang hebat itu sudah cukup untuk hapuskan kemungkaran itu. Mereka telah berjaya memikul amanah dakwah dengan kejayaan seratus peratus.

Tetapi dalam senario pertama, tiga orang pendakwah itu yang telah berusaha maksimum tidak mampu mencegah kemungkaran itu. Umat pula diam diri. Langsung tiada yang volunteer diri untuk berdakwah lawan kemungkaran itu selain tiga pendakwah itu.

Adakah setiap individu dalam umat Muslimin di negara itu berdosa kerana membiarkan kemungkaran itu semakin berleluasa, membiarkan hanya tiga pendakwah untuk lawan, tidak sanggup berkorban memikul amanah dakwah?

Bayangkan lagi umat ini berhujah bahawa dakwah adalah fardu kifayah dan bukan fardu ain, maka ia tidak jatuh hukum wajib ke atas individu untuk memikulnya 'selagi ada' yang memikul amanah dakwah.

Fardu ain seperti solat adalah wajib ke atas setiap individu.

Artikel Berkaitan:

Tetapi pendapat awam tentang fardu kifayah ialah jika tidak ada yang melaksanakannya dalam sebuah masyarakat, berdosa semuanya. 'Kalau ada' yang melaksanakan, terlepaslah daripada dosa.

Frasa seperti 'selagi ada' dan 'kalau ada' di atas mudah dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada amanah dakwah. Senjata utama untuk justifikasi kemalasan diri ialah 'ini hanya fardu kifayah! Bagilah orang lain buat pahala!'

Dalam dunia politik dan kuasa, tidak pula ahli politik berkata, "ramai yang mahu jadi menteri, bagilah yang lain jadi menteri! Fardu kifayah sahaja." Dalam dunia materialisme juga, tidak ada yang berkata, "sudah ada jutawan, tak perlulah saya jadi jutawan!"

Kalau diberi peluang, semua ahli politik mahu jadi menteri dan jadi jutawan. Tapi kalau diberi peluang untuk berdakwah, berapa ramai yang merebut peluang untuk berdakwah?

Kalau dakwah ditakrifkan sebagai naik pentas, masuk TV, pakai cantik dan dapat tepukan, sudah tentu yang jahil pun berebut-rebut nak dakwah.

Cuba kata dakwah itu bermula dengan membaca kitab ilmiah tinggi sebagai langkah pertama persediaan, berapa ramai yang sanggup bersusah payah memikul amanah dakwah yang memerlukan usaha berterusan membaca bahan-bahan berilmiah tinggi?

Kalau kerajaan tidak memenuhi kesemua janji manifesto Pakatan Harapan, sudah pasti ramai yang kata ini dosa besar kerana gagal utamakan rakyat.

Utamakan maslahat rakyat adalah fardu ain. Kalau majoriti rakyat Muslim di tanya mengapa kamu tidak berdakwah kepada kawan kamu yang tidak kenal Islam, sudah pasti alasannya ialah dakwah itu hanyalah fardu kifayah.

Menjaga maslahat agama sudah ada yang laksanakannya! Bukan manifesfo setiap Muslim untuk berdakwah pun.

Kejatuhan Khilafah Muslimin sampai ke tahap yang begitu 'pariah' adalah berpunca daripada sikap kontradiksi dan malas umat sendiri yang berlepas diri daripada amanah dakwah, bukan berpunca daripada 'kafir harbi'. Yang menjadi 'harbi' kepada Khilafah Uthmaniyyah ialah semangat Ketuanan Arab Muslim sendiri dan Imam Haramain yang berketurunan Nabi SAW.

Adakah anda akan terus berlepas diri daripada dakwah yang bersifat fardu kifayah hanya kerana 'sudah ada' yang berusaha lawan satu kemungkaran tetapi kemungkaran itu tetap semakin merebak?

Kalau tiga orang berusaha memadam api membakar rumah anda dan tiga orang ini sahaja tidak terdaya, adakah anda akan berkata, "Eh, tak apa. Tak wajib tambah orang kerana sudah ada yang berusaha padamkan!"

* Abdul Naser Tun Rahman ialah Ketua Kluster Sidang Budaya NUIM-Yadim