X

Kindly register in order to view this article
!

Dasar baharu koperasi bantu golongan B40

Nordin menyampaikan bantuan pembangunan koperasi kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Gambang pada majlis malam tadi.
A
A

KUANTAN- Satu dasar baharu akan diperkenalkan dalam usaha memperkasa peranan koperasi khususnya bagi membantu golongan B40.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh berkata, dasar baharu yang sedang dirangka itu secara asasnya lebih memberikan tumpuan kepada menyelesaikan masalah keperluan asas rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, dasar itu akan diumumkan pada masa yang sesuai dengan mengambil kira keperluan golongan tersebut yang terkesan ekoran peningkatan kos sara hidup.

“Ke arah itu, kita perlu siapkan rakyat dulu supaya mereka memahami tentang koperasi sebagai satu badan yang berpotensi besar dalam menjana ekonomi rakyat dan negara.

“Kita mahu rakyat bersama koperasi supaya gerakan ekonomi ini bergerak sebagai sebahagian cara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Bicara Interaktif Pengerusi Eksekutif SKM bersama Gerakan Koperasi Negeri Pahang dan Majlis Pengiktirafan Koperasi Terbaik Negeri Pahang 2018 di sini malam tadi.

Turut Hadir Pengarah SKM Pahang, Ibrahim Kasah.

Menurutnya, antara usaha pihak koperasi dalam membantu golongan berpendapatan rendah termasuk menyediakan kedai yang menjual barang keperluan pada harga berpatutan.

“Ia sebagai salah satu strategi dalam menghadapi masalah orang tengah yang menjadi faktor kepada peningkatan harga barang keperluan.

“Kini dalam tempoh beberapa bulan kita ada 25,000 outlet dengan kerjasama peniaga berbanding hanya 2,500 outlet ketika awal pelancarannya,” katanya.

Nordin berkata, pihaknya memerlukan masa dalam usaha memperkasakan koperasi di negera ini.

“Rakyat kena tahu koperasi merupakan badan yang berpotensi besar dan mempunyai peranan cukup hebat pada masa akan datang.

“Kita sentiasa merancang jadikan koperasi bukan sahaja sebagai badan menjana ekonomi rakyat tetapi sebagai salah satu penggerak ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 14,000 koperasi dengan 6 juta ahli bersama aset RM130 billion membuktikan gerakan itu bukan kecil tetapi mempunyai potensi yang cukup besar.

“Ahli koperasi kena terus pandang ke hadapan dengan melaksanakan dasar, strategi dan penggunaan teknologi yang betul untuk lebih berjaya,” katanya.

Pada majlis itu, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) terpilih sebagai koperasi terbaik di negeri ini berdasarkan perolehan pendapatan tahun lalu manakala Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak, Pekan dinobatkan koperasi sekolah terbaik terbaik.

Turut diadakan majlis penyerahan bantuan pembangunan koperasi kepada lapan buah koperasi di negeri ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!