Dasar baharu lonjak ekonomi antara tumpuan Dewan Rakyat

Dasar baharu lonjak ekonomi dan bantuan guaman antara tumpuan hari pertama Dewan Rakyat hari ini.
Dasar baharu lonjak ekonomi dan bantuan guaman antara tumpuan hari pertama Dewan Rakyat hari ini.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Persoalan mengenai dasar baharu dan drastik yang telah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan bagi melonjakkan ekonomi negara dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia dijangka dibangkitkan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut-PN) kepada Perdana Menteri pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Pada sesi sama, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) turut bertanyakan Perdana Menteri sama ada kerajaan bercadang untuk menggubal Akta Pembelaan Awam bagi menyediakan perkhidmatan bantuan guaman untuk kes jenayah di negara ini agar rakyat yang kurang berkemampuan turut mendapat akses kepada keadilan dan pembelaan sewajarnya.

Dalam pada itu, Gobind Singh Deo (Damansara-PH) membangkitkan soalan kepada Menteri Komunikasi dan Digital berhubung inisiatif yang dilakukan kerajaan dalam mempromosikan perniagaan digital serta langkah yang diambil dalam membantu syarikat tempatan di pasaran global.

Menteri Pertahanan pula dijadualkan menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah-PN) mengenai kesiapsiagaan aset pesawa Sukhoi 30-MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya melibatkan alat ganti jet pejuang berkenaan berikutan sekatan ekonomi negara barat terhadap Rusia yang merupakan negara pengeluar asal pesawat terbabit.

Selepas sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi pembentangan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini bersidang selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini. - Bernama