Anugerah graduan pilihan MNC iktiraf UniMAP lahir tenaga mahir negara

ARAU - Kejayaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih pengiktirafan Anugerah graduan pilihan Syarikat Multinasional (MNC) selama dua tahun berturut-turut bagi 2024 dan 2025 membuktikan keupayaan universiti itu melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pengiktirafan berkenaan mencerminkan peranan penting UniMAP dalam menyediakan graduan berkualiti serta berkemahiran untuk memenuhi kehendak sektor industri.
Menurut baginda yang juga Canselor UniMAP, pencapaian itu wajar diberikan penghargaan kerana menunjukkan usaha berterusan universiti berkenaan dalam memperkukuh hubungan antara pendidikan tinggi dengan keperluan industri.
“Inilah bukti peranan penting UniMAP dalam melahirkan tenaga mahir dan menyokong keperluan industri berteknologi tinggi negara," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan sempena Sidang Satu Istiadat Konvokesyen Ke-21 UniMAP di Dewan Tuanku Canselor, Kampus UniMAP Pauh Putra di sini pada Sabtu.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor Unimap, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Pro Canselor UniMAP, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan graduan supaya memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang diperoleh untuk menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh daya saing negara.
Baginda bertitah, graduan berpendidikan tinggi juga perlu memperluas perkongsian ilmu demi kemajuan bersama kerana semakin tinggi ilmu dimiliki, semakin besar peluang dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada bangsa serta negara.
Selain kecemerlangan akademik dan kemahiran, baginda turut menekankan kepentingan nilai murni, jati diri, disiplin serta prinsip teguh dalam setiap tindakan dan keputusan.
Seramai 3,775 orang graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama empat hari di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra sehingga Selasa ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

