Tahanan rumah: KDN tiada kuasa tentukan petisyen pengampunan

Saifuddin (dua dari kanan) ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI serta Sekolah Angkat MADANI Rela di Kampung Sungai Tiram, Lekir pada Sabtu.
Saifuddin (dua dari kanan) ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI serta Sekolah Angkat MADANI Rela di Kampung Sungai Tiram, Lekir pada Sabtu.
A
A
A

BERUAS - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya berperanan melaksanakan keputusan berkaitan tahanan rumah, bukannya menentukan kelayakan atau membuat keputusan terhadap petisyen pengampunan seseorang banduan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang petisyen pengampunan yang dikemukakan menjadi tanggungjawab Lembaga Pengampunan untuk dibincangkan, dipertimbangkan dan diputuskan mengikut bidang kuasa masing-masing.

"Kalau ada keputusan dibuat, tugas kami adalah melaksanakannya. Sama ada hukumannya dikurangkan, dibatalkan, dibebaskan atau diletakkan di rumah, kerja kami adalah melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (KAM) serta Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kampung Sungai Tiram, Lekir di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Presiden Amanah yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan kerajaan memberikan peluang kepada semua banduan, menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara dan bakinya menerusi tahanan di rumah.

Perkara itu menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan bahawa sebarang cadangan untuk meluaskan pelaksanaan tahanan rumah kepada semua individu yang layak perlu dirujuk kepada KDN.

Mengulas pandangan supaya peluang menjalani tahanan rumah diberikan kepada semua banduan yang layak, Saifuddin berkata, hak untuk memohon pengampunan sememangnya terbuka kepada semua individu.

Bagaimanapun katanya, sama ada sesuatu petisyen itu dilayan atau tidak merupakan perkara berasingan yang tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa berkaitan.

"Jadi, tidak kiralah siapa sahaja, orang kecil, orang besar, orang kaya, orang miskin, VIP atau rakyat biasa, hak itu sudah pun ada mengikut undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Apabila petisyen pengampunan diangkat, ia akan menjadi tanggungjawab Lembaga Pengampunan.

"Kalau di peringkat Persekutuan, pihak yang berkenaan yang bertanggungjawab. Jika negeri, maka Sultan yang memerintah negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!