Tahanan rumah: Semua banduan yang layak boleh memohon - Saifuddin Nasution

LUMUT - Semua banduan yang layak boleh memohon untuk mendapatkan pertimbangan mengenai baki hukuman, termasuk pengampunan dan menjalani tahanan rumah, tanpa mengira kedudukan mereka.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, banduan yang telah menjalani semua proses undang-undang sehingga ke Mahkamah Rayuan dan menjalani hukuman, berhak untuk mengemukakan atau mengangkat petisyen pengampunan.
"Jadi, tidak kiralah siapa sahaja, orang kecil, orang besar, orang kaya, orang miskin, VIP atau rakyat biasa, hak itu sudah pun ada mengikut undang-undang dan apabila diangkat petisyen pengampunan, ia akan menjadi tanggungjawab Lembaga Pengampunan.
"Kalau di peringkat Persekutuan, Yang Dipertuan Agong, di peringkat negeri, Sultan yang memerintah negeri," kata beliau.
Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program MADANI Kita (PMK) dan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026 di Kampung Sungai Tiram Lekir, Sitiawan, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sama ada petisyen pengampunan itu dibincangkan, dipertimbangkan dan dibuat keputusan atau tidak, itu bukan dalam bidang tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Sebaliknya, kata beliau, pihaknya akan melaksanakan apa juga keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampuan, sama ada hukuman dikurangkan, dibatalkan, dibebaskan atau diletakkan di bawah tahanan di rumah.
Pada Khamis, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kemudahan tahanan rumah tidak seharusnya menjadi keistimewaan golongan tertentu, sebaliknya perlu dipertimbangkan secara adil kepada semua banduan yang layak.
Ditemui selepas Ceramah ‘Jelajah Harapan Melaka Rumah Kita’ di Hang Tuah Jaya, Melaka, Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan kemudahan itu tidak boleh mewujudkan layanan dua darjat, khususnya antara banduan kaya dengan mereka yang kurang berkemampuan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
