MDKD2026 perkukuh literasi digital, dedah golongan muda AI

Fabian (tengah) bergambar bersama pempamer pada Program MDKD2026 Edisi Lembah Klang di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fabian (tengah) bergambar bersama pempamer pada Program MDKD2026 Edisi Lembah Klang di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini pada Sabtu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Digital terus memperkukuh agenda pembudayaan digital di peringkat akar umbi menerusi penganjuran Program Minggu Digital Kementerian Digital 2026 (MDKD2026) Edisi Lembah Klang di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini pada Sabtu.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata, program berkenaan bertujuan membawa inisiatif, perkhidmatan dan pengetahuan digital terus kepada masyarakat supaya manfaat pendigitalan negara dapat dirasai rakyat.

Menurutnya, pengisian program memberi tumpuan empat teras utama iaitu pendedahan kecerdasan buatan (AI), kepercayaan digital, kesejahteraan siber serta perluasan akses kepada perkhidmatan digital kerajaan.

"Pendedahan mengenai AI dan AI Generatif dilaksanakan menerusi sesi khas selama dua jam bagi menunjukkan bagaimana teknologi itu boleh membantu urusan seharian termasuk pembelajaran anak-anak, penyediaan resume dan perniagaan," katanya pada majlis perasmian MDKD2026 Edisi Lembah Klang berlangsung di pusat komuniti berkenaan.

Pada masa sama menurutnya, sesi AI Bertanggungjawab untuk Komuniti turut disediakan bagi mendidik masyarakat menggunakan teknologi kecerdasan buatan secara selamat, bertanggungjawab dan bermoral.

Dalam aspek keselamatan digital pula, beliau berkata, program itu turut menyediakan sesi Ceramah Kesedaran Penipuan Digital dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membimbing pengunjung mengenali taktik penipuan kewangan dalam talian serta langkah melindungi akaun perbankan.

Fabian (kanan) melawat ke reruai disediakan pada Program MDKD2026 Edisi Lembah Klang di Pusat Komuniti Sentul Perdana pada Sabtu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fabian (kanan) melawat ke reruai disediakan pada Program MDKD2026 Edisi Lembah Klang di Pusat Komuniti Sentul Perdana pada Sabtu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Reruai CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) turut dibuka bagi menyediakan khidmat nasihat berkaitan keselamatan siber serta perlindungan data peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Program itu turut memberi perhatian kepada kesejahteraan keluarga menerusi sesi Keibubapaan Pintar di Era Digital, ceramah penggunaan media sosial secara bertanggungjawab serta Pertandingan Mewarna bertemakan Dunia AI dan Masa Depan Digital," katanya.

Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk Program Jualan Rahmah Madani bersama KPDN, saringan kesihatan Klinik Putrimedik, kaunseling kredit AKPK, pendaftaran pekerjaan PERKESO serta kemudahan pendaftaran MyDigital ID dan perkhidmatan Portal MyGovernment.

Aryana Batisha Mansor. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Aryana Batisha Mansor. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sementara itu, seorang peserta program, Aryana Batisha Mansor, 14, berkata, pendedahan mengenai penggunaan AI secara berhemah dan selamat wajar diperluaskan kepada golongan muda, khususnya pelajar sekolah.

Pelajar Tingkatan Dua itu berkata, program berkenaan memberikannya pemahaman bahawa AI bukan sahaja membantu tugasan akademik, malah berpotensi menghasilkan inovasi yang bermanfaat kepada negara.

"Pendedahan awal juga penting bagi memastikan golongan muda memahami keselamatan dan risiko penyalahgunaan teknologi berkenaan," katanya.

Beliau turut berharap program seumpama itu diperluaskan ke lokasi lain supaya lebih ramai pelajar berpeluang mendalami perkembangan teknologi semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!