D101, udang merah paling laku

Sebahagian daripada 15 tan durian yang dilelong sempena Program Jualah Buah-Buahan Bermusim di Pasar Tani Padang Hiliran hari ini.
Sebahagian daripada 15 tan durian yang dilelong sempena Program Jualah Buah-Buahan Bermusim di Pasar Tani Padang Hiliran hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penggemar durian sudah tentu mempunyai cita rasa tersendiri, namun durian klon jenis D101 dan udang merah dikenal pasti antara yang paling laris, digemari serta mendapat permintaan tinggi di negeri ini.

Pemborong dan peruncit durian, Mohamad Afiq Jaizzuan Jamal, 26, berkata, dua jenis durian itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan rasa yang enak menyebabkan ia selalu habis dijual.

“Durian jenis D101 isinya berwarna kuning, agak kusam tetapi rasanya lemak manis dan berkrim. Durian ini sesuai bagi mereka yang tidak sukakan rasa yang pahit dan paling digemari oleh kanak-kanak.

“Durian jenis udang merah pula warnanya unik iaitu oren kemerahan dan rasanya agak pahit lemak dan manis,” katanya.

Menurutnya, dua jenis durian itu merupakan 'adik' kepada durian jenis musang king yang kini dilihat berada pada carta kedua selepas durian jenis black pearl.

“Berdasarkan kedudukan kualiti durian, D101 dan udang merah bawah pada musang king. Musang king sekarang jatuh nombor dua selepas black pearl. Tetapi di Terengganu black pearl agak kurang dapat sambutan mungkin kerana harganya yang agak mahal,” katanya ketika ditemui pada Program Jualah Buah-Buahan Bermusim di Pasar Tani Padang Hiliran di sini hari ini.

Kempen 'jom lebihkan makan buah-buahan tempatan' sempena program itu menyediakan 15 tan buah durian termasuk daripada jenis D13, D24, D18, D768 dan durian kampung yang diperoleh dari Johor Bahru dan Melaka serta dijual pada harga RM5 hingga RM14 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Afiq Jaizzuan menunjukkan durian jenis udang merah (kiri) dan D101.
Mohamad Afiq Jaizzuan menunjukkan durian jenis udang merah (kiri) dan D101.

Mohamad Afiq Jaizzuan yang berasal dari Kampung Rawai, Bukit Payong, Marang adalah usahawan di bawah bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia telah berkecimpung dalam perniagaan itu sejak berusia 21 tahun dan kini sudah hampir empat tahun di bawah bimbingan FAMA dengan mempunyai 12 pekerja.

Memulakan perniagaan dengan modal antara RM20,000 hingga RM30,000, kini usahawan muda itu mampu menjana keuntungan sebanyak RM7,000 hingga RM10,000 sehari.

"Sekarang modal setiap hari sahaja mencecah RM50,000. Memang berniaga durian ini bermain dengan risiko, bimbang buah rosak, isi buruk, buah masam, isi masih mengkal (tak masak) dan sebagainya.

“Selain kualiti buah, kita juga berdepan cabaran untuk bawa balik durian dari pembekal ke sini (Terengganu) yang mana terpaksa menempuh perjalanan panjang. Dalam tempoh itu macam-macam kejadian boleh berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, usahawan muda itu berkata, dia berani berdepan risiko kerana mahu memberi semua orang menikmati keenakan rasa raja buah itu.

"Saya dah berkecimpung dalam perniagaan ini sejak lima musim dan banyak juga pengalaman yang saya tempuh.

“Saya berani ambil risiko, berani melabur untuk beri durian yang terbaik dengan harga yang terbaik kepada orang ramai terutama kepada penggemar raja buah ini,” katanya yang beroperasi di tepi pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.