Diuji kali ketiga...

Kakitangan dari Pusat Khidmat DUN Kemelah bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Siput menziarahi Abdul Azim (dua kiri).
Kakitangan dari Pusat Khidmat DUN Kemelah bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bukit Siput menziarahi Abdul Azim (dua kiri).
A
A
A

SEGAMAT - Sepasang suami isteri dari Taman Perumahan Awam Bukit Siput, di sini, hanya mampu tabah dan akur dengan ketentuan Ilahi apabila anak keempat daripada lima beradik telah disahkan menghidap kanser tulang.

Junidah Abd Hamid, 46 berkata, dia dan suami tidak sangka sekali lagi diuji dengan penyakit itu selepas dua arwah anaknya juga pernah meninggal dunia akibat kanser.

“Saya ada lima anak kesemuanya lelaki, namun kini tinggal tiga sahaja berusia 18 hingga 10 tahun. Dahulu pada 2003, anak pertama meninggal dunia kerana barah otak pada usia 7 tahun.

“Setahun kemudian, anak kedua kami pula turut disahkan kanser dan meninggal dunia pada 2004 sewaktu berusia 5 tahun. Saya akui kehilangan dua anak sememangnya menguji ketabahan seorang ibu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Perumahan Awam Bukit Siput, di sini.

Menurut Junidah, selepas lebih sedekad tragedi menyayat hati itu berlalu, dia sekeluarga kini sekali lagi diuji apabila anak keempat, Abdul Azim Mohd Rozahar, 14 disahkan menghidap kanser tulang.

Katanya, penyakit itu dikesan Januari lalu sewaktu Abdul Azim mendapatkan rawatan gara-gara tulangnya kaki kanannya patah akibat tergelincir di lantai rumah.

“Pinggul Abdul Azim sebelum ini terpaksa dipasang skru selepas patah kaki akibat tergelincir pada Oktober tahun lalu.

“Bagaimanapun, selepas dua bulan, dia mengadu sakit melampau di bahagian pinggul kanan. Kami suami isteri terpaksa merujuk Abdul Azim ke pakar X Ray sebelum doktor mengesahkan skru berkenaan telah patah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Perumahan Awam di Bukit Siput, di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Junidah, doktor kemudian meminta anaknya itu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) selepas disyaki menghidap kanser limfoma.

“Pada Januari, keputusan di HKL mengesahkan Abdul Azim menghidap kanser tulang. Pemeriksaan lanjut di bahagian pinggulnya mendapati skru yang dipasang sebelum itu patah dan tulang pinggul sebelah kanannya hancur.

“Jadi sehingga kini, tiada tulang atau alatan lain menyokong pinggul Abdul Azim. Setakat ini, dia sudah jalani rawatan kimoterapi sebanyak lapan kali,” katanya.

Junidah berkata, sejak kejadian itu, dia yang bekerja sebagai pembantu di kantin sekolah terpaksa berhenti demi menjaga Abdul Azim dan hanya mengharapkan pendapatan suami, Mohd Rozahar Abdul Latif, 48 yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Saya masih ingat ketika pertama kali menerima ujian ini pada 2003, banyak barang dan aset terpaksa dijual. Ia disusuli sehingga tahun 2004 sehingga tiada lagi barangan berharga yang tinggal.

“Kini, kami sekeluarga hanya harapkan pendapatan suami yang dianggarkan RM2,000 sebulan. Saya simpati bila lihat semangat Abdul Azim yang ingin kembali bersekolah selepas tidak dapat meneruskan pelajaran sejak tahun lalu.

Terdahulu, Junidah bersyukur apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan membiayai kos perubatan Abdul Azim di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi sumbangan di Bank Affin atas nama Junidah Abd Hamid di 2012-600-61303.