Dua dilantik sertai petugas khas siasat kes Raymond, Amri

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azian Umar, serta Pengamal bebas undang-undang, Datuk Roger Tan Kor Mee dilantik menyertai Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kehilangan paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Pelantikan baharu itu bagi menggantikan bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri daripada pasukan itu.

Kementerian Dalam Negeri mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

"Kementerian Dalam Negeri mengambil kira pandangan awam mengenai keahlian Pasukan Petugas Khas ke atas Laporan Pendengaran Siasatan Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat. Ramai yang memberikan pandangan bahawa komposisi Pasukan Petugas Khas perlu dilihat lebih seimbang dan bebas.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Hakim Mahkamah Tinggi ketuai pasukan khas siasat kehilangan Raymond Koh, Amri

"Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri telah membuat pelantikan seorang ahli baharu untuk mengisi kekosongan ahli yang telah menarik diri sebelum ini dan seorang lagi ahli tambahan.

"Pelantikan dua orang ahli baharu dalam Pasukan Petugas Khas telah menjadikan keseluruhan anggotanya berjumlah tujuh orang termasuk pengerusi. Sebelum ini, keahlian Pasukan Petugas Khas adalah enam orang.

Tambah kenyataan itu, daripada keseluruhan anggota Pasukan Petugas Khas, hanya seorang dari Polis Diraja Malaysia iaitu Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zamri Yahya.

Artikel Berkaitan:

"Keanggotaan beliau adalah penting untuk membantu melicinkan perjalanan Pasukan Petugas Khas kerana JIPS mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memanggil mana-mana anggota polis tampil memberi keterangan.

"Dengan pelantikan dua orang ahli baharu ini, diharapkan Pasukan Petugas Khas ini dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cekap, beramanah dan berintegriti tanpa menimbulkan apa-apa prejudis atau syak wasangka daripada mana-mana pihak," katanya.

Sebelum ini Mokhtar dilaporkan menarik diri secara sukarela dan atas rasa tanggungjawab untuk memelihara integriti dan ketelusan pasukan ekoran tindakan pihak tertentu mempersoalkan kesesuaian keanggotaannya.

Pengumuman itu dibuat seminggu selepas penubuhan Pasukan Petugas Khas berkenaan yang melibatkan enam anggota yang diketuai bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

Selain Mokhtar pasukan itu turut dianggotai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Muhammad Bukhari Ab Hamid; Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN, Mohd Russaini Idrus.

Pasukan petugas itu ditubuhkan bagi menyiasat semula laporan yang telah dikeluarkan oleh Suhakam.

Tempoh selama enam bulan diberikan untuk melakukan siasatan dengan kes Amri akan didahulukan kerana kes melibatkan kehilangan Raymond masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.