Bekas Hakim Mahkamah Tinggi ketuai pasukan khas siasat kehilangan Raymond Koh, Amri

Muhyiddin FOTO: ZAHID IZZANI
Muhyiddin FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Rahim Uda hari ini dilantik mengetuai senarai enam ahli Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan aktivis, Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh.

Ahli lain yang turut berada dalam senarai pasukan dilantik Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu adalah Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor; Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, Datuk Zamri Yahya dan Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Siap), Datuk Muhammad Bukhari Hamid.

Selain itu, Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) KDN, Mohd Russaini Idrus.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan itu diberi tempoh enam bulan untuk menjalankan siasatan kes tersebut sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

"Pada 8 Mei lalu, mesyuarat jemaah menteri bersetuju KDN menubuhkan PPK bagi menyiasat kes kehilangan Raymond dan Amri.

"Langkah ini diambil kerana laporan dibentangkan Suhakam telah wujudkan persepsi negatif dan tidak adil kepada polis. Jadi diharap dengan penubuhan PPK ini siasatan sewajarnya dilaksanakan untuk berikan keadilan kepada semua pihak.

"Kita juga akui tugas ini mencabar tetapi saya yakin dengan kebijaksanaan ahli-ahlinya apa pun perkara yang berbangkit dapat diselesaikan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan PPK Laporan Kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat di kementeriannya di sini hari ini.

Jelas Muhyiddin lagi, kes Amri akan diberi tumpuan terlebih dahulu oleh PPK memandangkan kes Raymond masih ada yang dibicarakan di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes kehilangan Amri PPK akan siasat semula laporan dikeluarkan Suhakam manakala kes Raymond hanya akan dilaksanakan setelah selesainya perbicaraan di mahkamah bagi mengelakkan subjudis," katanya.

Terdahulu, KDN telah menerima Laporan Pendengaran Siasatan Awam Suhakam Kes Kehilangan Pastor Raymond Kod dan Amri Che Mat pada 8 April lalu.