Pemergian mendiang James Dawos satu kehilangan besar

Mendiang James Dawos
Mendiang James Dawos
A
A
A

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan mendiang Datuk Seri James Dawos Mamit sebagai pemimpin Bidayuh yang banyak menyumbang kepada politik Sarawak dan juga kawasannya termasuk negara.

"Saya amat sedih dan bersimpati mendengar berita kematian beliau. Beliau sudah lama sakit.

"Ia satu kehilangan besar bagi kita," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula berkata, mendiang Dawos seorang pemimpin yang sangat baik dan pemergiannya satu kehilangan besar kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

"Beliau ialah 'buku rujukan' saya tentang alam sekitar, waktu itu saya jadi Menteri Persekutuan (Sumber Asli dan Alam Sekitar).

"Apabila beliau berdiri untuk bertanya soalan, saya akan bimbang. Tetapi apa pun, saya selalu mendapatkan nasihatnya dan sudah banyak kali saya membawanya menghadiri persidangan perubahan iklim di peringkat antarabangsa," katanya.

Mendiang Dawos, 70, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Stutong Indah, Tabuan Jaya di sini kira-kira jam 12.30 malam tadi selepas menderita penyakit kanser hidung sejak 10 tahun lalu.

Dawos meninggalkan isteri, Datin Seri Christine Dawung Narub serta tiga anak lelaki dan tujuh cucu.

Artikel Berkaitan:

Kerjaya politiknya bermula selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Mambong sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 1999.

Mendiang kemudian menyertai PBB dan kekal sebagai Ahli Parlimen Mambong (sekarang dikenali Parlimen Puncak Borneo) sebelum mengundur diri pada PRU14 disebabkan masalah kesihatan.

Dawos pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) antaranya sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. - Suara Sarawak