Bengkung tiruan: Stokis kemuka saman terhadap Sajjad

Sajjad
Sajjad
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang stokis bengkung mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap usahawan Muhammad Sajjad Kamaruzzaman agar membuat permohonan maaf kerana mendakwanya menjual produk tiruan.

Stokis tersebut, Suzyyana Sulaiman turut memohon gantirugi berikutan barangannya telah dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hak Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mei lalu.

Peguam yang mewakili Suzyyana, Nurul Hafidzah Hassan berkata, surat tuntutan tersebut telah dihantar hari ini.

"Iya. Surat tuntutan itu keluar daripada firma guaman ini hari ini, namun saya tidak pasti sama ada dia (Muhammad Sajjad) sudah menerimanya," katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini.

Menurutnya, Muhammad Sajjad diberi tempoh 14 hari untuk menjawab tuntutan tersebut.

"Kita beri masa 14 hari sebelum tindakan seterusnya diambil," katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh mengenai ganti rugi, pihaknya belum memutuskan jumlah tersebut.

"Anak guam kami mengalami kerugian akibat dakwaan produk tersebut tiruan sedangkan Suzyyana merupakan stokis sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, firma guaman itu, NHA Advocates & Solicitors dalam kenyataan medianya mengesahkan pihaknya dilantik oleh Suzyyana untuk memulakan tindakan saman sivil terhadap Muhammad Sajjad.

Pada 25 Jun lalu, lelaki itu mendedahkan tiga produk keluaran syarikatnya termasuk bengkung didakwa diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab.