iGuru cadang wujud sistem pendidikan untuk bina perpaduan kaum

Mohd Azizee
Mohd Azizee
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mencadangkan supaya satu sistem pendidikan, satu kurikulum, satu dasar dan satu sekolah yang bersifat kebangsaan diwujudkan untuk membina perpaduan kaum di negara ini.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, antara usaha penting untuk mewujudkan perpaduan ialah memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama.

Jelasnya, sistem pendidikan di negara ini masih terpisah dengan kewujudan sekolah-sekolah vernakular dan sekolah-sekolah swasta yang menjurus kepada satu kaum.

"Kekangan lain untuk mewujudkan perpaduan ialah apabila kita gagal memahami sejarah negara dengan tepat dan betul serta luntur semangat patriotisme dikalangan pelajar.

"Subjek sejarah wajar difahami dan diajar sejak di peringkat rendah lagi disamping mempelajari prinsip- prinsip kenegaraan dan perlembagaan negara," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah bahawa sistem pendidikan berperanan penting dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Melalui laman Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah, semangat perpaduan perlu bermula dari sekolah seiring dengan usaha untuk memupuk nilai keharmonian antara kaum, selain memberi penekanan kepada subjek Sejarah untuk mengukuhkan lagi jati diri rakyat.

Dalam pada itu, Mohd Azizee ketika mengulas tentang titah Sultan Ibrahim berkata, pihaknya menyokong usaha mengukuhkan penguasaan pelbagai bahasa di peringkat sekolah tanpa mengenepikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama negara.

Artikel Berkaitan:

"Kemahiran menguasai pelbagai bahasa seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil dikalangan kaum yang berbagai-bagai diharap dapat memupuk semangat perpaduan dan keharmonian kaum," katanya.