Pembinaan litar lumba di Kedah masuk fasa kedua

Mohd Asmirul Anuar (kanan) bersama Mukhriz (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Syed Saddiq di KBS baru-baru ini. - Foto: Facebook Mohd Asmirul Anuar
Mohd Asmirul Anuar (kanan) bersama Mukhriz (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Syed Saddiq di KBS baru-baru ini. - Foto: Facebook Mohd Asmirul Anuar
A
A
A

ALOR SETAR- Projek pembinaan litar lumba antarabangsa di Sungai Petani, memasuki fasa kedua di mana kerja-kerja pembinaan trek dijangka bermula dalam masa terdekat.

Exco Belia dan Sukan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pelaksanaan fasa kedua itu melibatkan dana pembangunan sebanyak RM20 juta, selepas fasa pertama penyediaan tapak selesai dengan kos sekitar RM10 juta.

Menurutnya, pembinaan litar lumba bertaraf antarabangsa itu bakal menggunakan teknologi tinggi dari United Kingdom (UK) bagi memastikan ia mencapai standard ditetapkan.

“Bagi fasa pertama, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi kerja merata tanah dan sebagainya. Fasa seterusnya, kita akan mula membina struktur litar, termasuk infrastruktur yang dilakukan oleh syarikat GLC, Bina Darulaman Berhad (BDB),” katanya selepas melancarkan program Kedah Food Valley, semalam.

Mohd Asmirul Anuar berkata, Sepang International Circuit (SIC) diberikan tanggungjawab selaku penasihat teknikal bagi pelaksanaan pembangunan litar terbabit, selain berperanan sebagai penasihat pengurusan kelak.

“Kita akan bina trek terlebih dahulu, pada masa sama bangunkan kemudahan dan infrastruktur berkaitan secara berperingkat berdasarkan peruntukan diterima,” katanya.

Menurutnya, perkara berkenaan sudah dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada pertemuan yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, baru-baru ini.

“Projek ini dijangka memerlukan peruntukan RM40 juta lagi yang akan disalurkan kerajaan Persekutuan secara berperingkat. Kemungkinan dana meningkat sedikit kerana menggunakan teknologi UK, kerana kita mahu pastikan kualiti dan daya tahan litar lebih lama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Asmirul Anuar berkata, penggunaan litar ini kelak tidak hanya kepada penganjuran pertandingan antarabangsa, sebaliknya turut dibuka kepada penganjuran tempatan.

“Kita tetap beri peluang peminat motor tempatan untuk gunakan litar ini. Ia turut dibincangkan dan kemungkinan untuk hari-hari tertentu litar dibuka kepada aktiviti tempatan, kerana antara agenda asal kita mahu gilap bakat baharu anak tempatan dalam sukan permotoran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Asmirul Anuar berkata, Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan permohonan Kedah untuk membina sebuah Kompleks Sukan Kuala Muda di Sungai Petani.

“Pembinaan kompleks sukan itu dijangka membabitkan kos RM9 juta, kerajaan negeri sudah pun menyediakan tanah bagi tujuan itu. Kuala Muda dipilih sebagai lokasi kerana terdapat permintaan dan kepadatan penduduk,” katanya.