Kes penculikan di Sabah terpencil: Pesuruhjaya Polis Sabah

No Image Caption
A
A
A

LABUAN - Kejadian penculikan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) masih dianggap terpencil kerana tidak kerap berlaku, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata, agensi keselamatan dan penguatkuasaan telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan keselamatan kawasan pantai Sabah yang luas bagi memastikan kedaulatan negara dilindungi sepenuhnya.

Omar berkata, langkah itu bukan hanya kerana penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) tetapi juga pertambahan aset untuk operasi keselamatan yang lancar.

“Penculikan tidak berlaku setiap hari atau setiap minggu atau setiap bulan di perairan Sabah...ini disebabkan langkah keselamatan yang dipertingkatkan bukan sahaja daripada polis tetapi juga agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang lain,” katanya pada sidang media selepas menutup Seminar Pemerkasaan Ketua-Ketua Agensi dan Perkhidmatan Polis Bantuan di sini.

Beliau berkata, orang ramai perlu melawat kawasan pantai Sabah menyaksikan sendiri langkah-langkah yang diambil oleh agensi keselamatan.

Omar turut mengakui masih ada nelayan yang melanggar arahan perintah berkurung menjadikannya sukar untuk agensi keselamatan memastikan keselamatan mereka.

“Kita tidak boleh menafikan masih ada nelayan yang tidak mematuhi arahan perintah berkurung (di beberapa daerah)...sekiranya nelayan berkeras untuk ke laut semasa tempoh perintah berkurung, mereka perlu mendapatkan pengecualian perintah berkurung daripda ketua polis daerah supaya rondaan dapat dilaksanakan demi keselamatan mereka,” katanya.

Omar mengingatkan mereka yang didapati melanggar arahan perintah berkurung boleh didakwa di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, seramai 10 nelayan Bajau Laut diculik di perairan Tambisan di Lahad Datu pada 2 pagi, iaitu semasa perintah berkurung dilaksanakan yang mana semua aktiviti di laut dilarang kecuali dibenarkan oleh pihak berkuasa.- Bernama