Pengundi 18 tahun: Tiada kelebihan buat PH atau BN, kata KJ

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ditemui media di Parlimen. FOTO ROSLI TALIB
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ditemui media di Parlimen. FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan Persekutuan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dijangka tidak akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang muda di negara ini akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat parti mana yang akan memberi hala tuju terbaik kepada mereka dan negara.

“Jadi tak timbul pindaan Perlembagaan Persekutuan ini akan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Khairy menambah, pembangkang pada dasarnya bersetuju dengan pindaan tersebut namun, mencadangkan lebih baik kerajaan melakukan pindaan itu serentak dengan cadangan pembangkang.

“Pada dasarnya kita setuju... tapi sepatutnya pindaan itu datang sekali,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengundi 18: Pembangkang akan sokong tetapi bersyarat

Terdahulu, blok pembangkang menyokong cadangan untuk menurunkan had umur pengundi dari 21 tahun kepada 18 namun ianya bersyarat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil mengemukakan cadangan supaya kerajaan meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan warganegara Malaysia berumur 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pemilih.

Artikel Berkaitan:

Tidak itu sahaja, malah pada usia 18 tahun itu juga sekali gus layak menjadi calon pilihan raya.

Cadangan yang merupakan syarat jika mahu usul penurunan had umur itu disokong blok pembangkang ketika dibentangkan esok (4 Julai) di Dewan Rakyat.

“Kita akan sokong usul kerajaan ini, tetapi kita juga mahu kerajaan meminda Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan itu juga, pindaan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, iaitu kelayakan menjadi calon pilihan raya juga turut diturunkan kepada umur 18 tahun,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pembangkang juga akan membentangkan usul persendirian berhubung cadangan ini dalam tempoh terdekat.