Pemandu lori didenda RM9,000

Mohd Jamil (tengah) selepas selesai prosiding kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mohd Jamil (tengah) selepas selesai prosiding kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan membawa lembu hidup tanpa perakuan kebenaran pindah, April lalu.

Mohd Jamil Anuar, 32, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Rashidah Baharom selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didapati membawa lembu hidup sebanyak lima ekor menggunakan lori tanpa perakuan kebenaran pindah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Johor atau wakilnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan KM J10 Jalan Kong Kong, Pasir Gudang iaitu kawasan diwartakan sebagai kawalan penyakit kuku dan mulut Johor sekitar jam 12.45 tengah hari, 11 April lalu.

Oleh itu, beliau didakwa melakukan kesalahan yang melanggar kehendak peruntukan Perenggan 2(a)(iii) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Johor 2005 dan boleh dihukum di bawah Sub-Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013.

Dalam rayuannya, Mohd Jamil memohon kepada mahkamah agar memberikan hukuman denda yang rendah ke atasnya dengan mengambil kira tanggungan keluarga dan gajinya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM9,000 ke atasnya dan jika tidak bayar, boleh dipenjara sembilan bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor, Mohd Faiz Ajis manakala Mohd Jamil tidak diwakili mana-mana peguam.

Artikel Berkaitan: